Banjir Sri Muda: Kanak-kanak 2 tahun ditemui lemah

Kanak-kanak berkenaan berada bersama keluarganya di dalam rumah di kawasan yang dinaiki air. - Foto Astro Awani
Kanak-kanak berkenaan berada bersama keluarganya di dalam rumah di kawasan yang dinaiki air. - Foto Astro Awani
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun didapati lemah dan mengalami simptom muntah-muntah dipercayai akibat kekurangan air di kawasan banjir Sri Muda, di sini, malam ini.

Pakar Perubatan Kecemasan Hospital Klang, Dr Mohd Akmal Rahim berkata, kanak-kanak berkenaan ditemui berada bersama keluarganya di dalam rumah di kawasan yang dinaiki air.

"Kanak-kanak ini telah terkandas di kawasan banjir selama dua hingga tiga hari dan telah muntah banyak kali.

"Air dalam badan sangat kurang jadi ia beri kesan kepada tekanan darah," katanya yang bertugas di kawasan itu ketika ditemui Astro Awani pada Rabu malam.

Terdahulu, pasukan perubatan terpaksa mendapatkan bantuan pihak polis bagi membawa keluar kanak-kanak itu yang masih berada di rumah.

Sewaktu ditemui di rumahnya, mangsa dikatakan dalam keadaan kurang bertindak balas ketika pemeriksaan dilakukan.

Ujar Dr Mohd Akmal, kanak-kanak itu dikejarkan ke Hospital Klang untuk rawatan lanjut. - Awani

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!