Buktikan semangat Keluarga Malaysia

Foto hiasan
Foto hiasan
A
A
A

PENUTUP tahun 2021 menyaksikan banyak episod duka berlaku di Malaysia. Terbaharu, bencana alam yang mengakibatkan ratusan ribu mangsa terjejas dan kemusnahan harta benda.

Ramai yang terkesan selepas rumah ditenggelami air. Ada mangsa terperangkap di dalam rumah beberapa hari, tak kurang juga ada mangsa yang terpaksa ‘menginap’ di atas bumbung sambil menahan kelaparan dan kesejukan sementara menanti bantuan tiba.

Paling menyentuh hati apabila melihat gambar-gambar yang dikongsi di laman sosial menunjukkan warga emas terlantar terpaksa berendam di dalam banjir dengan mesej kecemasan dan mengharapkan segera diselamatkan.

Entah di mana silapnya, bantuan yang ditunggu oleh mangsa-mangsa banjir lambat tiba.

Kelewatan itu menyebabkan ramai yang mempertikai kecekapan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dalam menguruskan musibah kali ini.

Tak kurang juga yang menuding jari kepada petugas barisan hadapan selepas mendakwa mereka lambat bertindak.

Bagi penulis, ini bukan masanya kita mencari salah siapa atau menggesa mereka yang berkenaan meletakkan jawatan, tetapi inilah masanya untuk kita bersatu hati tanpa mengira warna kulit atau bendera parti untuk membantu mangsa-mangsa banjir.

Ya, kerajaan mahupun agensi terbabit harus bertanggungjawab dengan kelemahan yang berlaku, namun yang penting ketika ini mangsa banjir harus diselamatkan terlebih dahulu.

Artikel Berkaitan:

Marilah kita menghulurkan tenaga dan sumbangan agar mereka yang terkesan dengan musibah banjir besar dapat bangkit semula memulakan kehidupan baharu.

Marilah kita sama-sama membuktikan semangat Keluarga Malaysia seperti yang dilaung-laungkan.

Tunjukkan kepada semua bahawa sebenarnya nilai kasih sayang, perpaduan pelbagai kaum dan nilai kemanusiaan antara kita masih teguh walaupun sebelum ini dilihat begitu rapuh angkara fahaman politik dan sentimen perkauman yang diadu domba.

Percayalah, ramai mangsa banjir amat perlukan pertolongan dan ihsan kita ketika ini.

Proses membersihkan rumah selepas banjir surut bukanlah mudah. Ia pasti meletihkan jika mangsa banjir melakukannya sendirian.

Penulis juga berharap, tiada lagi mangsa banjir terpaksa berlapar berhari-hari akibat terputus bekalan makanan.

Kita pasti tidak mahu kejadian pecah masuk seperti berlaku di Pasar Raya Mydin, Taman Sri Muda, Shah Alam baru-baru ini berulang kembali.

Mujurlah, Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holding Berhad (Mydin), Datuk Ameer Ali Mydin faham situasi yang dialami oleh mangsa-mangsa banjir dan menghalalkan barang yang diambil demi meneruskan kelangsungan hidup mereka.

Dalam pada itu, ketika waktu yang mencabar ini, kita juga perlukan lebih banyak syarikat korporat berhati mulia seperti Mydin untuk meringankan beban mangsa-mangsa banjir di seluruh negara.

Semoga lebih banyak syarikat atau usahawan dapat melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka dengan menyumbangkan dana seperti dilakukan Yayasan Petronas yang menyumbang RM25 juta kepada mangsa bencana.

Kepada pemilik-pemilik bengkel kenderaan pula, janganlah ambil kesempatan dengan mengenakan caj keterlaluan bagi membaiki kereta yang rosak akibat banjir.

Percayalah, jika kita ikhlas membantu mereka dalam kesempitan, nescaya akan dibalas dengan segala kebaikan.

Buat semua mangsa yang terlibat dengan bencana banjir besar di seluruh Malaysia, penulis mendoakan agar anda semua terus tabah dan kuat menghadapi ujian ini.

Kepada semua sukarelawan dan dermawan yang berhati mulia, andalah kebanggaan rakyat Malaysia.

* Mohd Iskandar Othman ialah wartawan Sinar Harian Utara

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!