Jangan malu minta sumbangan, elak jumpa ah long

Barangan yang rosak akibat banjir menjadi bahan buangan. - Foto hiasan
Barangan yang rosak akibat banjir menjadi bahan buangan. - Foto hiasan
A
A
A

BERAT mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.

Itulah yang dapat Merak Jalanan ungkapkan tatkala melihat situasi dialami puluhan ribu mangsa banjir ketika ini.

Ada kawasan banjir di Selangor telah surut dan mangsa pulang membersihkan rumah. Banyak barang terpaksa dibuang kerana rosak teruk.

Bertambah berat dugaan apabila satu-satunya kereta dimiliki turut ditenggelami banjir.

Bagi negeri di pantai timur, masih ramai mangsa berlindung di pusat pemindahan kerana paras banjir melepasi bumbung rumah dan belum ada tanda mahu surut.

Mungkin perlu menunggu tiga atau empat hari lagi.

Mereka turut memikirkan kerugian dan cara mencari wang untuk membeli kelengkapan baharu kerana banyak barangan tidak dapat diselamatkan.

Tidak semua mangsa mempunyai simpanan mencukupi, malah ramai juga golongan B40 bergantung kepada gaji harian.

Artikel Berkaitan:

Ada mangsa tak sempat menyimpan wang kerana duit sedia ada telah diguna untuk menggantikan kelengkapan rumah selepas banjir sebegini pernah berlaku pada awal Januari lalu.

Kerugian berganda dalam tempoh setahun.

Merak Jalanan bimbang jika ada yang buntu memikirkan soal itu sehingga mahu berjumpa ah long sebagai jalan pintas mendapatkan wang segera.

Sudah pasti apa sahaja syarat terutama kadar faedah tinggi ditawarkan ah long akan mereka turutkan.

Mangsa-mangsa banjir yang sangat memerlukan, janganlah malu untuk tampil memohon sumbangan.

Gunakan segala saluran yang ada termasuk memanfaatkan media sosial bagi meminta bantuan.

Ramai yang sedia menghulurkan pertolongan. Jika tidak dapat banyak, sedikit pun dapat meringankan beban.

Berjumpa dengan ah long hanya memerangkap diri sendiri dalam masalah hutang.

Merak Jalanan harap mangsa banjir tidak berbuat demikian. Yakin dan percayalah bahawa ALLAH Maha Mengetahui.

Semoga urusan mangsa-mangsa banjir dipermudahkan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!