Pengarah Teknikal FAM wajib faham budaya bola sepak Malaysia
PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) disaran menilai beberapa kriteria penting terlebih dahulu sebelum membuat keputusan melantik pengarah teknikal yang baharu.
Bekas Pengarah Teknikal FAM, Datuk Ong Kim Swee berkata, penetapan kriteria itu perlu merangkumi kemampuan individu terbabit untuk mengenali ‘budaya’ bola sepak Malaysia.
Menurut Kim Swee, kriteria itu amat penting terutamanya dalam memastikan pasukan kebangsaan bermain mengikut falsafah yang diterapkan barisan kejurulatihan.
“Pengarah teknikal yang akan dilantik itu tidak kisah sama ada dalam kalangan orang tempatan atau luar negara. Apa yang penting individu itu harus mengenal pasti apa budaya bola sepak kita.
“Kalau yang datang merupakan individu yang terbaik, tapi tidak tahu sistem, kualiti pemain tempatan dan cara mereka bermain, saya rasa ia tidak akan mendatangkan untung kepada pasukan negara.
“Seorang pengarah teknikal yang pandai, dia akan dapat semua informasi mengenai bola sepak negara atau sekurang-kurangnya kenal pasti apa sistem bola sepak kita.
“Kita juga harus beri masa kepada individu tersebut dan jangan berharap apabila dia datang menggalas tugas itu, kejayaan terus ada dalam sekelip mata,” katanya kepada Sukan Sinar pada Rabu.
Jawatan Pengarah Teknikal FAM - posisi yang dianggap penting dalam merangka hala tuju atau DNA bola sepak Malaysia kini kosong selepas Kim Swee melepaskan jawatannya pada 11 September lalu.
Kim Swee dilantik Pengarah Teknikal FAM berkuat kuasa 1 Januari tahun ini bagi mengisi kekosongan ditinggalkan Peter de Roo yang mengumumkan keputusan untuk mengundur diri setelah tamat kontrak pada penghujung tahun 2020.
Dalam pada itu, Kim Swee yang kini menerajui Sabah FC menyangkal dakwaan sesetengah pihak yang beranggapan DNA bola sepak Malaysia tidak mencapai objektif ditetapkan.
“DNA ini kalau kita lihat ia akan bertukar mengikut situasi bola sepak semasa. Apa yang kita perlu kekalkan adalah memastikan cara kita bermain tidak terlalu beza dengan corak permainan yang ditetapkan.
“Jadi saya rasa DNA yang diterapkan tidak perlu untuk dirombak besar-besaran apabila kita gagal atau tewas. Apa yang penting kita perbaiki DNA itu, lihat sudut mana yang lemah untuk dibaik pulih,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!