'Terpaksa tunda terbalik elak tersangkut dalam longkang'
KUALA LUMPUR - Polis terpaksa menunda sebuah kereta terbabit kemalangan dalam keadaan terbalik bagi mengelakkan tayar kenderaan tersebut tersangkut dalam longkang dalam kejadian di Jalan Syed Putra di sini 18 Disember lalu.
Satu klip video berdurasi lapan saat turut tular di TikTok memaparkan sebuah lori tunda polis menunda sebuah kereta dalam keadaan tayar ke atas dipercayai dirakam oleh seorang pengguna jalan raya.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, video itu dilihat sekitar jam 9.30 malam pada Rabu.
"Hasil siasatan mendapati kejadian tersebut berlaku pada 18 Disember kira-kira 10.55 pagi, di Jalan Syed Putra berhampiran SJK(C) Kuan Cheng, Kuala Lumpur.
"Kereta jenis Proton Saga itu tidak boleh digerakkan ke posisi asal kerana halangan longkang. Jika kereta tersebut ditarik pada posisi asal, berkemungkinan tayar belakang akan tersangkut dalam longkang itu," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Sarifudin berkata, kereta tersebut terbalik selepas terlibat dalam satu kemalangan susulan hujan lebat yang melanda ibu kota.
"Selepas mendapat persetujuan pemandu kereta, kenderaan tersebut ditarik sejauh lima meter di atas jalan raya dan diterbalikkan ke posisi asal dengan bantuan orang awam," jelasnya.
Beliau berkata, tindakan itu terpaksa diambil bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya lain, anggota JSPT serta pemilik kenderaan tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!