TNB tutup 522 pencawang elektrik di Pahang

TNB menutup sementara 522 pencawang elektrik di lapan daerah susulan bencana banjir di Pahang. Gambar hiasan
TNB menutup sementara 522 pencawang elektrik di lapan daerah susulan bencana banjir di Pahang. Gambar hiasan
A
A
A

KUANTAN - Tenaga Nasional Berhad (TNB) menutup sementara 522 pencawang elektrik di lapan daerah susulan bencana banjir di Pahang.

Pengurus Besar TNB Negeri Pahang, Datuk Baderul Sham Saad berkata, penutupan membabitkan 150 pencawang di Temerloh, Kuantan (145), Bentong (131) dan Lipis (65).

Menurutnya, turut ditutup ialah 15 pencawang di Jerantut, Bera (7), Raub (7) dan Maran (2).

"Penutupan pencawang elektrik itu dilakukan secara berperingkat sejak 19 Disember lalu akibat ditenggelami banjir.

"Bagi memastikan mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) berada dalam keadaan selesa, sepuluh generator elektrik disediakan membabitkan lima PPS di daerah Kuantan, Temerloh (4) dan Lipis (1)," katanya kepada pemberita pada Khamis.

Tambah beliau, semua pencawang elektrik yang ditutup hanya akan beroperasi semula selepas banjir surut sepenuhnya dan setelah proses membaiki kerosakan dilakukan.

"Sehingga semalam (Rabu), TNB berjaya membaik pulih 270 pencawang elektrik di negeri ini dan 71 unit generator bergerak ditempatkan di kawasan yang terjejas banjir.

"TNB sentiasa berusaha memberi perkhidmatan terbaik kepada pelanggan dan usaha memulihkan bekalan elektrik yang terputus sentiasa diberi keutamaan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, pada masa sama TNB perlu mengambil kira aspek keselamatan pengguna dan kakitangannya.

Baderul Sham turut memberitahu, bagi memastikan pengurusan banjir berkesan, lebih 250 kakitangan TNB terbabit dengan operasi banjir di seluruh negeri.

"Bilik Gerakan TNB Pahang juga diaktifkan untuk memantau keadaan dan menyalurkan maklumat terkini berkaitan bekalan elektrik.

"Tindakan segera dapat dilakukan hasil maklumat diterima," katanya.

Beliau berkata, pengguna yang mengalami kerosakan sistem pendawaian serta sambungan bekalan elektrik selepas banjir disaran mendapatkan khidmat kontraktor pendawaian yang berdaftar dengan Suruhanjaya Tenaga.

"Pengguna dinasihatkan tidak membaiki atau melakukan penyambungan sendiri," katanya.

Baderul Sham turut memaklumkan, kejadian banjir kali ini turut menyebabkan 128 rumah kakitangan TNB di beberapa daerah dinaiki air.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!