Lemas ketika memukat ikan
SANDAKAN - Seorang lelaki ditemui lemas ketika keluar memukat ikan di perairan Pulau Semayang di sini pada pagi Khamis.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi, mangsa, Muhamad Alisan Muhamat, 31, ditemui terapung kira-kira 200 meter dari Kampung Semayang.
Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Daerah (BBP) Sandakan, Hairi Otuh berkata, mangsa dikatakan keluar memukat ikan kira-kira jam 4.30 pagi dengan menaiki sebuah bot di Pulau Bai Sandakan.
"Bagaimanapun menurut penduduk, bot yang dinaikinya telah hanyut, manakala mangsa tidak berada di dalam bot terbabit.
"Pihak bomba menerima maklumat kejadian pada jam 7.29 pagi sebelum lima anggota termasuk dua pegawai dengan dibantu beberapa agensi lain melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.
Katanya, mangsa kemudian ditemui di perairan Pulau Semayang oleh penduduk kampung.
"Mayat mangsa dibawa ke Jeti Pangkalan Maritim sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. Operasi kemudian ditamatkan pada jam 10.02 pagi," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!