Saksi kes langggar lari diminta tampil bantu siasatan
TUMPAT - Orang ramai yang melihat kejadian langgar lari menyebabkan kematian seorang lelaki berusia 20 tahun di Jalan Berangan-Meranti di simpang tiga Kebakat, Cabang Empat Tok Mek Ngah, di sini pada Sabtu lalu diminta tampil membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Mohd Azmir Damiri berkata, kejadian itu berlaku pada jam 6.40 petang melibatkan seorang penunggang motosikal berbangsa Siam.
"Motosikal yang ditunggang oleh mangsa dipercayai dilanggar oleh sebuah lori jenis Isuzu berwarna putih.
"Sehingga sekarang nombor pendaftaran kenderaan tersebut masih tidak diperoleh," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Menurutnya, mangsa meninggal di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) Kota Bharu pada jam 11.15 malam Sabtu.
Beliau berkata, orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat mengenai kejadian tersebut diminta tampil ke balai berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Nur Izzati Bohari di talian 017-3796540.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!