Mayat dua beranak lemas redah banjir ditemui
KUANTAN- Mayat dua beranak yang dipercayai lemas ketika meredah air di kawasan padang bola berhampiran Bangunan UMNO di Mentakab, ditemui pagi ini.
Dalam penemuan pertama, Musa Ahmad, 53 tahun, ditemui pada jarak 100 meter dari lokasi kejadian sekitar jam 10 pagi.
Menurut Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Ismail Abdul Ghani, mangsa ditemui pasukan Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) JBPM Bukit Angin, Temerloh dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, mayat anaknya, Mohamad Aireel Zikree, 10 tahun, ditemui di lokasi sama kira-kira dua jam kemudian.
"Menurut komander operasi, mayat mangsa kedua, seorang kanak-kanak lelaki telah dijumpai di lokasi yang sama pada jam 11.50 pagi.
"Operasi mencari dan menyelamat mangsa lemas telah ditutup pada jam 12.30 tengah hari," kata Ismail.Dalam kejadian pada Selasa, seorang lelaki dewasa dan seorang kanak-kanak dihanyutkan arus ketika cuba meredah air di kawasan padang bola di Mentakab.
Menurut kenyataan JBPM Pahang, operasi pencarian dilakukan dengan menggunakan bot aluminium oleh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Mentakab dan Bukit Angin.
Kawasan pencarian dianggarkan sejauh 1km dari lokasi kejadian. Kawasan yang terlibat berarus deras. -Awani
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!