ATM tumpu bantuan di tiga negeri terjejas banjir

Panglima Angkatan Tentera (PAT) Jen Tan Sri Affendi Buang pada sidang media khas mengenai situasi terkini keadaan banjir Selangor di Pos Kawalan Bomba Taman Sri Muda Shah Alam hari ini. - Foto Bernama
Panglima Angkatan Tentera (PAT) Jen Tan Sri Affendi Buang pada sidang media khas mengenai situasi terkini keadaan banjir Selangor di Pos Kawalan Bomba Taman Sri Muda Shah Alam hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memberi tumpuan bantuan di Pahang, Selangor dan Kelantan yang terjejas teruk akibat banjir.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, seramai 38,399 mangsa dengan sembilan kawasan yang membabitkan atur gerak ATM iaitu di Pahang khususnya di Maran, Kuantan, Raub, Kuala Lipis, Jerantut, Temerloh, Pekan, Bentong dan Bera.

Bagaimanapun katanya, pada masa kini keadaan di Perak, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Melaka masih terkawal.

"Kita sentiasa bersedia dengan kekuatan satu kompeni iaitu lima pegawai dan 97 anggota yang diletakkan dalam keadaan siap siaga di setiap negeri bagi diatur gerak ke lokasi terjejas banjir apabila terdapat keperluan tambahan," katanya pada sidang akhbar di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) Taman Sri Muda Seksyen 25 pada Khamis.

Affendi turut menegaskan dalam menangani krisis seumpama ini, pihaknya melihat kepada kerjasama antara agensi dengan meletakkan kepentingan keselamatan mangsa sebagai keutamaan.

"Kita tidak boleh lagi bekerja secara bersendirian, sebarang usaha yang dilaksanakan lebih berkesan jika berkonsepkan 'whole of government approach' bagi memastikan setiap agensi terbabit dapat digembleng secara bersama dan berkesan," katanya.

Beliau berkata, pada masa ini bukan masa untuk mana-mana pihak meletakkan kesalahan sehingga boleh mengganggu usaha menyelamat dan memindahkan mangsa banjir.

"Sebarang kekurangan dalam aspek pengurusan banjir ini adalah tugas bersama setiap agensi untuk mencari jalan penyelesaian dalam menambah baik operasi yang dilaksanakan pada masa akan datang," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!