Kaunselor bantu pulih semangat mangsa banjir

Siti Zailah (kanan) turun padang menyampaikan bantuan banjir kepada penduduk yang terjejas di Kampung Lubok Gong, Rantau Panjang pada Khamis.
Siti Zailah (kanan) turun padang menyampaikan bantuan banjir kepada penduduk yang terjejas di Kampung Lubok Gong, Rantau Panjang pada Khamis.
A
A
A

RANTAU PANJANG - Kaunselor profesional yang berdaftar dengan Lembaga Kaunselor Negara telah digerakkan untuk membantu memulihkan semula semangat mangsa-mangsa banjir yang terkesan dengan musibah berkenaan.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, pihaknya mengakui penduduk yang jarang terlibat dengan banjir berdepan trauma selepas melihat rumah dan harta benda musnah.

Menurutnya, kaunselor ini digerakkan ke kawasan banjir dan pusat pemindahan sementara (PPS) untuk memberi khidmat kepada mangsa terlibat.

"Kita juga memohon bantuan pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk mendapatkan khidmat kaunselor bagi membantu memberikan nasihat kepada mangsa banjir.

"Selain itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut menempatkan kaunselor di setiap daerah seluruh negara bagi melancarkan tugas tersebut," katanya kepada pemberita selepas turun padang menyampaikan bantuan banjir kepada penduduk yang terjejas di Kampung Lubok Gong pada Khamis.

Dalam perkembangan lain, Siti Zailah berkata, JKM telah memindahkan depo-depo bekalan makanan di negeri-negeri yang tidak terkesan dengan banjir ke kawasan musibah.

"Langkah itu bagi membantu kawasan terjejas teruk dengan banjir.

"Semua mangsa banjir yang berada di PPS disediakan pelbagai keperluan asas di mana sebanyak RM25 sehari diperuntukkan untuk menyediakan makan dan minum di seluruh negara," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!