Siak diikat, empat tabung masjid dilarikan
KAMPAR - Seorang siak diikat kaki dan tangan oleh dua lelaki bertopeng sebelum empat tabung dilarikan dalam kejadian samun di Masjid An-Nur, di sini pada Khamis.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.45 pagi itu, mangsa berusia 65 tahun mahu memulakan rutin hariannya membersihkan masjid untuk jemaah menunaikan solat Subuh.
Ketua Daerah Kampar, Superintendan Mohamad Nazri Daud berkata, kedua-dua suspek yang bersenjatakan besi bertindak memaut leher dan mengugut untuk menikam mangsa.
"Mangsa dibawa ke ruangan solat dan dipaksa untuk menyerahkan kunci tabung sebelum salah seorang suspek mengikat tangan dan kaki mangsa menggunakan kain.
"Kedua-dua suspek dianggarkan berusia 30-an telah mengambil empat tabung di ruangan solat yang mengandungi wang dianggarkan bernilai RM650 sebelum beredar," katanya.
Menurutnya, usaha mengesan kedua-dua suspek tersebut dijalankan setelah mereka berjaya dirakam kamera litar tertutup (CCTV).
"Masjid berkenaan dilengkapi 16 CCTV namun, hanya 10 yang berfungsi iaitu enam di bahagian dalam masjid dan empat di ruang luar masjid.
"Suspek pertama berbadan tegap manakala rakannya berfizikal kurus dengan ketinggian masing-masing lebih kurang 170 cm. Mereka memakai t-shirt gelap, penutup muka hitam, bersarung tangan dan bersenjatakan sebatang besi dengan ukuran lebih kurang satu meter," katanya.
Mohamad Nazri berkata, suspek disyaki melarikan diri menerusi pintu pagar bahagian belakang yang tidak berkunci.
"Polis merampas sebatang besi dan sehelai kain tuala dalam keadaan tersimpul disyaki digunakan dalam kejadian itu.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!