36 guru di Melaka masih enggan terima vaksin Covid-19
MELAKA - Kerajaan negeri mengenal pasti hanya 36 daripada 13,800 jumlah keseluruhan guru di negeri ini yang masih enggan untuk menerima vaksin Covid-19.
Exco Pendidikan dan Teknologi, Datuk Rais Yasin berkata, jumlah itu bagaimanapun bukanlah satu angka yang besar namun berharap guru-guru yang masih 'tegar' untuk tidak divaksin dapat membuat keputusan sebaiknya.
Menurutnya, pada awalnya dianggarkan kira-kira 80 guru yang belum menerima vaksin termasuk 36 individu terbabit bagaimanapun mereka yang belum divaksinasi itu kerana mempunyai masalah kesihatan.
"Jadi jumlah 36 guru yang enggan divaksin itu bukanlah angka yang besar dan tidak ramai sebenarnya.
"Saya yakin kementerian dan juga Jabatan Pendidikan Negeri akan terus berusaha memberi penerangan, memujuk dan juga memberi kaunseling agar mereka terbuka untuk menerima vaksin Covid-19, " katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan sempena Hari Natal kepada 50 individu kurang bernasib baik di Dewan Paya Emas di sini pada Khamis.
Dalam perkembangan lain, Rais yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput berkata, masalah banjir yang sering melanda di kawasan Tanah Merah dan Kampung Lanjut Manis dapat ditangani setelah kerja-kerja pembinaan tebing Sungai Lanjut Manis di Krubong dapat dilaksanakan segera.
"Hujan lebat dan arus deras menyebabkan tebing runtuh hingga mengakibatkan ramai penduduk terjejas dan dua pusat pemindahan sementara (PPS) di kawasan itu terpaksa dibuka.
"Saya yakin masalah ini dapat diatasi dan saya minta penduduk memberi sedikit masa dan Exco pengurusan banjir juga telah turun bersama untuk menangani isu banjir di Krubong," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!