Guna rakit gabus selamatkan penduduk terperangkap
SHAH ALAM - Guna rakit gabus untuk selamatkan mangsa terperangkap, itu tindakan nekad yang dilakukan seorang penduduk Kampung Kebun Bunga, Batu 3, di sini ketika banjir melanda baru-baru ini.
Menurut Naim, 33, suasana yang tenang pada awalnya bertukar huru-hara pada waktu petang selepas air menghampiri paras bumbung dan akhirnya menenggelamkan semua peralatan dan barangan rumah.
"Saya yang ketika itu berada di Kuala Lumpur dikejutkan dengan panggilan telefon daripada isteri memaklumkan rumah mula dinaiki air kira-kira jam 11 pagi sebelum saya segera pulang untuk menguruskan apa yang perlu.
"Pada awalnya, air hanya di paras lutut dan dalam tempoh kira-kira dua jam, banjir hampir di paras bumbung.
"Bila air semakin tinggi, saya segera bawa lari anak, anak saudara dan jerit kepada semua untuk segera keluar rumah. Air memang terlalu laju dan hanya fikir nyawa lebih penting masa itu," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Khamis.
Tambah pekerja syarikat swasta itu, pada masa sama dengan dibantu jirannya, dia berusaha menyelamatkan bayi dan kanak-kanak di rumah berhampiran yang telah ditenggelami air.
Katanya, memang situasi ketika itu panik dan huru-hara malah ada yang cedera.
"Rumah memang tenggelam. Nampak bumbung sahaja. Ada beberapa penduduk yang terperangkap dan kami terpaksa menggunakan gabus untuk dijadikan rakit bagi menyelamatkan mereka.
"Sebelum hendak digunakan, kami cuba dulu muatan yang boleh ditampung rakit itu. Memang nekad masa itu. Rakit gabus itu boleh muat enam orang dan Alhamdulillah, mereka yang terperangkap dapat diselamatkan," ujarnya.
Katanya, apa yang sayu, ada suara kanak-kanak menangis dan menjerit meminta pertolongan.
"Kami semua yang terjejas telah dibawa ke tempat pemindahan sementara di sekolah, masjid dan apartment," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!