Jumlah mangsa banjir Teluk Intan menurun

Keadaan banjir di kawasan Kampung Batu 8, Jalan Changkat Jong, Teluk Intan semakin surut dengan sebahagian penduduk dibenarkan pulang.
Keadaan banjir di kawasan Kampung Batu 8, Jalan Changkat Jong, Teluk Intan semakin surut dengan sebahagian penduduk dibenarkan pulang.
A
A
A

TELUK INTAN - Jumlah mangsa banjir di dua pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah Hilir Perak menurun kepada 245 orang pada Khamis.

Jumlah pada hari keempat itu menunjukkan trend penurunan berbanding 278 orang yang dicatatkan pada Isnin lalu.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Hilir Perak berkata, kesemua mangsa membabitkan 68 keluarga yang ditempatkan di kedua-dua PPS berkenaan sejak dibuka pada Ahad.

"Mangsa yang ditempatkan di PPS di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abdul Rahman Talib, Changkat Jong di sini membabitkan 135 orang daripada 31 keluarga manakala mangsa yang dipindahkan di Dewan Bandaran Teluk Intan pula mencatatkan seramai 110 orang daripada 37 keluarga," katanya.

Menurutnya, kesemua mangsa merupakan penduduk dari Kampung Batu 7, Batu 7 1/2, Batu 8, Kampung Baru Batu 8, Batu 9, Batu 10 Jalan Bidor, Batu 15 Kampung Ayer Hitam, Batu 6 Kampung Glouster dan Kampung Selat Manggis, Sungai Kerawai yang terjejas.

Katanya, keadaan cuaca di lokasi kejadian baik dan air di beberapa kawasan sudah surut namun pemantauan masih dilakukan secara berkala.

Artikel Berkaitan:
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!