Ibu habis berpantang dukung anak minta bantuan

Malaatul (kiri) dibantu ahli keluarganya membantu mengemas kediamannya yang terjejas akibat banjir di Kampung Kebun Bunga, Batu 3, Shah Alam.
Malaatul (kiri) dibantu ahli keluarganya membantu mengemas kediamannya yang terjejas akibat banjir di Kampung Kebun Bunga, Batu 3, Shah Alam.
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang wanita yang baru habis berpantang terpaksa menempuh detik mencemaskan selepas kediamannya di Kampung Kebun Bunga, Batu 3, di sini dilanda banjir besar.

Dalam nada sebak, Malaatul Husna Rosli, 28, berkata, dia baharu pulang dari kampung di Kedah bebebapa hari sebelum banjir melanda pada Sabtu lalu.

Menurutnya, air agak deras mula memasuki ke kawasan rumahnya kira-kira jam 2 petang.

"Bila air mula naik, saya segera menyelamatkan dokumen penting selain barang keperluan anak seperti baju serta lampin untuk diletakkan di tempat yang lebih tinggi.

"Bila air semakin tinggi, saya ke rumah biras saya di sebelah yang berada di tingkat dua, namun paras air ketika itu sudah mencecah ke bahagian tangga tingkat satu.

"Masa itu anak sulung saya berusia tiga bulan sudah menangis sementara tunggu bantuan datang. Mujur ada sampan penduduk kampung datang bawa kami ke tempat yang selamat," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Khamis.

Keadaan selepas banjir di kediaman sekitar Kampung Kebun Bunga, Batu 3, Shah Alam.
Keadaan selepas banjir di kediaman sekitar Kampung Kebun Bunga, Batu 3, Shah Alam.

Dia berkata, ketika itu perasaannya amat sebak ketika sampan yang membawanya itu melalui kawasan bumbung rumahnya.

Artikel Berkaitan:

"Anak memang tak henti menangis mungkin sebab sejuk. Mujur hari pertama berada di tempat pemindahan anak saya tidak meragam," ujarnya.

Malaatul Husna bagaimanapun mengakui bersyukur apabila ahli keluarganya datang membantu untuk mengemas dan sebagainya selepas banjir surut.

"Amat sedih melihat kejadian ini. Semua perkakasan rumah rosak. Apa pun, saya amat berterima kasih kepada ahli keluarga saya yang baharu sampai dari Kedah untuk membantu dan memberi sokongan moral," katanya.

Dalam pada itu, dia berharap pihak berwajib atau wakil rakyat dapat datang dan membantu penduduk yang terjejas akibat bencana banjir di kawasan kediaman penduduk di sini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!