Pengurusan banjir Selangor perlu bergerak secara koordinasi
SHAH ALAM - Semua anggota dan agensi kerajaan yang terlibat dalam operasi mengurus termasuk mencari dan menyelamat (SAR) mangsa banjir di Selangor diingatkan supaya bergerak secara koordinasi.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, permintaan tersebut telah disuarakan ketika mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Bencana Selangor pada malam Rabu.
Menurut beliau, mesyuarat itu susulan beberapa gerak kerja yang dilakukan melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri sejak 18 Disember lepas.
"Masyuarat dihadiri Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Majlis Keselamatan Negara (MKN), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) serta beberapa agensi berkaitan.
"Saya mengingatkan kepada semua anggota serta agensi yang hadir tentang kepentingan kebersamaan dan koordinasi serta pematuhan chain of command agar bantuan terutamanya makanan, peralatan asas serta ubat-ubatan dapat disampaikan secara optimum kepada lokaliti yang memerlukan, " katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, Ketua Pembangkang, Datuk Rizam Ismail turut hadir dalam mesyuarat itu untuk berkongsi pandangan bagi memudah cara pengurusan banjir membantu seluruh rakyat Selangor.
Amirudin turut memaklumkan sebanyak 125 pusat perpindahan sementara (PPS) yang menempatkan 22,875 mangsa di lapan lapan daerah di Selangor setakat 8 malam, Rabu.
"Dalam ikhtiar ini, dukacita dimaklumkan bahawa setakat Rabu, tragedi banjir ini mencatatkan kematian 24 orang korban.
"Kerajaan negeri mengucapkan takziah kepada semua keluarga terbabit dan berharap semoga mereka diberi kesabaran, kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi musibah ini," katanya.
Selain itu katanya, sebanyak 2, 064 tan metrik sampah telah diangkut oleh KDEB Waste melibatkan 487 tong roll on roll off (RORO), 29 jentolak dan 1,274 pekerja bagi operasi pembersihan di lapan daerah yang terjejas banjir.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!