Mangsa banjir sarat hamil dikejarkan ke hospital
SHAH ALAM - Seorang ibu sarat hamil tidak menyangka kedatangan pasukan perubatan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Masjid Jamek Fastabiqul Khayrat, Batu 3, di sini membuatkan dia dikejarkan ke hospital pada Khamis.
Keputusan diambil pasukan perubatan yang mengikuti Misi #BantuanBencana Sinar Harian x Rasuah Busters itu bagi menyelamatkan nyawa mangsa banjir tersebut dan bayi dalam kandungannya.
Rabiatul Adawiyah Mohd Khir, 30, yang mengandung anak kedua didapati mengalami tekanan darah tinggi.
Rabiatul Adawiyah berkata, dia bersyukur kerana Rasuah Busters membawa doktor ke PPS tersebut sekali gus membolehkan dia menjalani pemeriksaan kesihatan.
"Kalau tidak, saya tidak tahu apa akan jadi. Semalam (Rabu) saya ke klinik pakar tetapi tutup akibat banjir," katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini pada Khamis.
Sementara itu, Dr Nabila Aziz berkata, tekanan darah tinggi ketika mengandung boleh menyebabkan sawan dan mengganggu aliran darah dari plasenta kepada bayi.
Tambahnya, Rabiatul Adawiyah perlu mendapat rawatan di wad bersalin disebabkan kandungan telah berusia 38 minggu.
"Rabiatul Adawiyah telah dihantar ke hospital menaiki ambulans yang disediakan oleh pasukan perubatan yang mengikuti misi bencana banjir Sinar Harian dan Rasuah Busters.
"Ini bagi menyelamatkan nyawa wanita itu dan bayinya," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!