Bot pukat tunda nelayan Pahang, 15 kru turut ditahan
KUALA TERENGGANU - Jabatan Perikanan Malaysia (Terengganu) menahan tiga bot nelayan tempatan yang berdaftar di Pahang bersama 15 kru termasuk 10 warga Myanmar dengan nila sitaan keseluruhan hampir RM3 juta di kawasan perairan laut Terengganu pada Rabu.
Exco Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, ketiga-tiga bot berkenaan ditahan antara jam 1.30 sehingga 2 pagi ketika operasi dilakukan di perairan berkenaan.
Menurutnya, operasi dijalankan susulan aduan serta rintihan yang diterima daripada nelayan tempatan yang mendakwa mereka terpaksa menanggung kerugian hampir jutaan ringgit akibat perbuatan nelayan tidak bertanggungjawab itu.
"Tangkapan pertama dibuat pada jam 1.30 pagi melibatkan bot pukat tunda dari Pahang yang menunda pada jarak kira-kira 8 batu nautika dari Kuala Dungun, Dungun. Sebenarnya mudah sahaja untuk kita kenal bot dari Pahang dengan merujuk warna rumah kemudi mereka yang berwarna kuning.
"Dua lagi bot ditahan kira-kira jam 1.45 pagi dan bot ketiga di tahan kira-kira jam 2 pagi. Siasatan awal mendapati ketiga-tiga bot ini melakukan dua kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985, kerana menangkap ikan di kawasan tangkapan yang hanya dibenarkan untuk nelayan Terengganu sahaja," katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di Duyung Marina pada Khamis.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!