Banjir: Peniaga diberi amaran jangan ambil kesempatan
KUALA LUMPUR - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi amaran kepada peniaga bahawa tindakan akan diambil jika mereka mengambil kesempatan daripada situasi banjir ketika ini dengan menaikkan harga barangan asas.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kementerian sentiasa mengawasi dan memantau harga barangan terutama ketika musim banjir.
“Kami akan mengambil tindakan undang-undang jika mereka didapati berbuat demikian. Buat masa ini kami masih belum menerima apa-apa laporan kenaikan harga.
“Kami ada kaedah sendiri untuk menentukan sama ada peniaga tersebut melanggar skim harga atau sebaliknya. Terdapat beberapa kenaikan (harga) bagi barangan tertentu tetapi semuanya berada dalam lingkungan had yang dibenarkan,” katanya kepada wartawan selepas majlis penyerahan bantuan kepada mangsa banjir di sini pada Khamis.
Beliau berkata, kementerian telah memperkenalkan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Krismas, yang berkuat kuasa bermula pada Khamis hingga 31 Disember.
Nanta berkata, kementerian akan terus mencari jalan bagi membantu mereka yang terkesan akibat banjir.
“Kami mempunyai banyak sumber sumbangan daripada kilang dan pasar raya. Malah ketika tiada bencana alam pun, kami masih boleh mengumpulkan bantuan. Kami akan gunakan bantuan itu sebagai sebahagian daripada program bank makanan bagi membantu mereka yang memerlukan barangan asas terutama makanan,” katanya.
Nanta sebelum itu menyampaikan sumbangan zakat berjumlah RM80,000 daripada Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) kepada penduduk daerah Hulu Langat, Shah Alam dan Puchong termasuk pekerja MyIPO yang terkesan akibat bencana banjir.
Penyaluran sumbangan ini adalah bagi meringankan beban mangsa banjir yang terpaksa menanggung kerugian akibat kemusnahan harta benda. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!