Tanda pagar #daruratbanjir satukan rakyat Malaysia
KUALA LUMPUR - Platform media sosial memainkan peranan penting ketika negara berhadapan dengan bencana banjir baru-baru ini apabila tweet (ciapan) berkaitan bencana banjir di Malaysia mencecah hampir lima juta secara global pada 18 hingga 21 Disember.
Twitter Asia Tenggara dalam kenyataannya pada Khamis berkata, lima tanda pagar paling popular yang digunakan untuk meminta bantuan, mendapatkan maklumat sahih dan mengikuti perkembangan semasa ketika bencana banjir baru-baru ini ialah #DaruratBanjir, #banjir darurat, #banjir, #rakyatjagarakyat dan #kitajagakita.
“Tanda pagar seperti #banjirdarurat telah memberi inspirasi, menyemaikan perpaduan dan mendorong rakyat Malaysia untuk memberi sokongan dan menghimpunkan bantuan yang diperlukan oleh mangsa banjir.
“Tanda pagar #DaruratBanjir telah menyumbang dalam usaha sama rakyat Malaysia menangani krisis nasional tidak kira bangsa dan agama,” katanya.
Menurut Twitter Asia Tenggara, perkara itu memudahkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk menyalurkan bantuan kepada yang memerlukan.
"Mereka (pengguna Twitter) yang mempunyai jumlah pengikut yang banyak memainkan peranan penting dengan menggesa rakyat Malaysia untuk mengarahkan bantuan dengan apa sahaja sumber demi membantu komuniti yang terjejas," katanya.
Tambahnya, ketika hujan lebat di beberapa negeri dan daerah di Malaysia orang ramai beralih ke Twitter untuk mendapatkan maklumat terkini tentang kawasan yang terjejas demi menyelamatkan mangsa-mangsa yang masih belum menerima bantuan.
Menurut Twitter Asia Tenggara, ramai rakyat Malaysia menggunakan Twitter untuk berkongsi butiran mangsa yang masih terperangkap dan haiwan-haiwan yang terdampar dengan harapan suara mereka akan didengari oleh pasukan penyelamat.
"Hasil pelbagai perkongsian mengenai bencana banjir di Twitter rakyat Malaysia bersatu dan bangkit menghulurkan bantuan dari segi kewangan, sumbangan makanan, aktiviti sukarelawan dan tempat perlindungan haiwan," katanya.
Selain itu ada rakyat Malaysia yang berbesar hati menawarkan bot dan kenderaan mereka digunakan demi misi menyelamatkan mangsa banjir, tambah kenyataan itu.
Dalam kenyataan itu, Twitter Asia Tenggara turut berkongsi empat langkah untuk mendapatkan maklumat sahih pada waktu darurat dan bencana alam.
Menurutnya, bagi mendapatkan maklumat yang betul dan tepat, pengguna Twitter perlu mengikuti akaun Twitter yang sahih dan organisasi media untuk mendapatkan maklumat terkini.
“Gunakan tanda pagar berkaitan isu yang berlaku demi memastikan Tweet anda dapat disampaikan ke khalayak ramai. Pastikan maklumat yang disebarkan adalah tepat dan betul apabila anda tweet semula dan atau quote tweet,” katanya.
Tambahnya gunakan Twitter Lite untuk mengelakkan masalah sambungan data terutamanya di kawasan yang terjejas dan ikuti agensi dan/atau organisasi yang terlibat dengan krisis tersebut untuk terus mendapatkan perkembangan yang sahih. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!