Operasi LRA Karak pulih pada Jumaat

LRA Karak dijangka beroperasi pada Jumaat. - Foto Paip
LRA Karak dijangka beroperasi pada Jumaat. - Foto Paip
A
A
A

KUANTAN - Loji Rawatan Air (LRA) Karak dijangka beroperasi pada Jumaat malam selepas kerja-kerja membaiki peralatan mekanikal dan elektrikal yang rosak akibat peningkatan paras air siap sepenuhnya.

Ketua Pegawai Eksklusif Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip), Saiful Zaini Mohd Bokhari berkata, pengoperasian semula LRA itu membolehkan pengguna akan menerima bekalan air sepenuhnya.

"Bekalan itu disalurkan kepada pengguna secara berperingkat dalam tempoh 24 sehingga 48 jam.

"Justeru, sebanyak 3,857 akuan pengguna yang terkesan akibat gangguan bekalan air sejak 18 Disember lalu berjaya diselesaikan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau menjelaskan, sepanjang operasi tugas LRA Karak dihentikan, sebanyak 51 tangki statik telah ditempatkan di lokasi pusat pemindahan sementara (PPS).

Menurutnya, sebanyak enam lori tangki dan tiga Jumbo Tanker telah digerakkan bagi membekalkan air kepada pengguna dan premis yang terjejas.

Bantuan ini turut mendapat kerjasama daripada Syarikat Air Johor (SAJ), Lembaga Air Perak (LAP) dan Non-Governmental Organization (NGO) Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA).

"Walaupun pelbagai rintangan dan cabaran yang dihadapi sepanjang berlaku pada musim Monsun Timur Laut ini, pihak kami sentiasa berusaha sebaik mungkin dan mengambil tindakan segera bagi memastikan kelangsungan bekalan air bersih dapat disalurkan kepada pengguna khususnya di Pahang," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan LRA Karak dihenti tugas dan menyebabkan pengguna terkesan akibat gangguan bekalan air.

Mengulas lanjut, Saiful berkata, pemberhentian tugas itu bermula pada 18 Disember lalu susulan peningkatan paras air sungai yang menyebabkan peralatan mekanikal dan elektrikal di loji mengalami kerosakan.

Selain itu katanya, beberapa paip utama turut pecah dan ekalan elektrik daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) juga telah terputus.

"Ekoran daripada kejadian banjir yang berlaku baru-baru ini juga telah menyebabkan 'steel girder' yang membawa paip utama Mild Steel (MS) 350 milimeter (mm) dan 200 mm patah di bawa arus deras serta mengakibatkan beberapa kawasan terputus bekalan.

"Justeru, pihak kita telah membuat segala persediaan dan persiapan bagi pelaksanaan kerja-kerja dan henti tugas loji dengan kerja-kerja pembaikan ini segera dilakukan oleh pasukan Perkhidmatan Air Paip Ibu Pejabat bersama-sama Paip Daerah.

"Pembaikan dan pembersihan di LRA Karak juga turut dibantu 18 anggota Rejimen Askar Jurutera Daerah (RAJD)," katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan pengguna menggunakan air secara berhemah dan menyimpan bekalan air secukupnya bagi keperluan sepanjang tempoh gangguan berdasarkan jadual.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!