KPDNHEP kenal pasti peniaga berdaftar terjejas banjir
SHAH ALAM - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPNDHEP) akan mengenal pasti mana-mana komuniti peniaga berdaftar khususnya peniaga kecil yang terjejas banjir di beberapa negeri untuk diberi bantuan bersesuaian.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, bagi tujuan itu peniaga yang terjejas juga boleh menghubungi pejabat KPDNHEP berdekatan untuk memberi maklumat berkenaan keperluan mereka kepada agensi itu.
“Kepada komuniti peniaga yang terkesan (dengan banjir), KPDNHEP akan melihat bagaimana kami boleh bantu mereka. Di KPDNHEP kami tidak pisahkan antara peniaga dan pengguna, lebih-lebih peniaga dan penjaja kecil penting untuk kami bantu.
“Yang penting, mereka ini kami kena kumpul maklumat. Jadi kami berharap mereka juga boleh tampil ke pejabat atau mana-mana cawangan KPDNHEP untuk memberitahu yang mereka perlukan bantuan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyantuni dan menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir di Kampung Lombong, Seksyen 29 dan pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Alam Megah, Seksyen 28, di sini pada Khamis.
Menurut Alexander, beliau juga akan membawa masalah peniaga yang terjejas banjir ke mesyuarat kabinet akan datang untuk diteliti bagaimana kementerian itu boleh membantu golongan peniaga tersebut.
Dalam pada itu, Alexander berkata, susulan banjir yang melanda Selangor pada Sabtu lepas, beliau telah mengarahkan penubuhan Skuad Sukarelawan Banjir (SSB) di bawah kementeriannya bagi menyelaras usaha penyaluran bantuan kepada golongan yang memerlukan.
“Antara keutamaan peranan SSB adalah mengenal pasti jenis barangan keperluan asas dan bantuan lain yang diperlukan, selain menggerakkan petugas sukarelawan untuk turun padang membersihkan kediaman mangsa banjir.
“Penyelarasan gerak kerja turut dibuat bagi memastikan tenaga sukarelawan ditumpukan ke kawasan yang belum diberikan perhatian dan memerlukan sokongan orang ramai,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!