'ALLAH tinggalkan tangga, bukti utuhnya kasih sayang arwah bapa'

Rohana Mahfuz, 75, hanya mampu termenung melihat rumah pusaka keluarganya yang berusia lebih 50 tahun dihanyutkan selepas kawasan tersebut dilanda banjir. - Foto Bernama
Rohana Mahfuz, 75, hanya mampu termenung melihat rumah pusaka keluarganya yang berusia lebih 50 tahun dihanyutkan selepas kawasan tersebut dilanda banjir. - Foto Bernama
A
A
A

HULU LANGAT - Wajahnya tidak langsung kelihatan sugul. Sebaik berbicara, tutur katanya sungguh bersemangat, sesekali disulami gelak tawa juga.

Sekali pandang, tidak langsung menyangka wanita berusia 75 tahun ini baru sahaja kehilangan rumah pusakanya berusia 52 tahun akibat banjir.

Sebelum ini, kediaman itu tersergam indah di Kampung Jawa di sini, namun kini hanya tangga yang masih gagah, menjadi kenangan buat rumah yang sudah musnah.

Rohana Mahfuz reda, menganggap semua berlaku adalah ujian daripada ALLAH dan sebagai manusia biasa, dia menganggap Allah mengambil semula apa yang pernah dipinjamkan kepadanya.

Mengakui sangat berduka dengan apa yang terjadi, namun baginya, cukuplah tiga hari bersedih kerana kehidupan perlu diteruskan sebaiknya.

Kata Rohana, biarpun rumah pusaka yang sudah hanya dibawa arus banjir kini hanya tinggal tangga sahaja, namun itu sudah cukup memberikan makna yang besar buat dia sekeluarga.

"Rumah ini rumah pusaka yang sangat berharga buat kami adik-beradik, satu keluarga.

"Sebab di tangga itulah, berdirinya bapa mengucapkan selamat jalan kepada mak yang berada di dalam keranda. Itu yang kami tak boleh lupa.

Artikel Berkaitan:

"Jadi dekat situ ALLAH masih beri lagi tangga itu pada kami. Di situ nampak keutuhan kasih sayang bapa kami kepada mak, apatah lagi kepada kami (anak-anaknya)," katanya secara eksklusif kepada Astro AWANI ketika ditemui di tapak rumah pusakanya hari ini.

Sepanjang hari, orang awam tidak putus-putus mengunjungi tangga kenangan kediaman pusaka keluarga Rohana.

Bahkan, ramai juga yang merakamkan gambar dan video berikutan kediaman itu tular di media sosial.

Ditanya kepada Rohana, apakah emosinya terganggu melihat orang ramai mengunjungi kediaman tinggalan Allahyarham bapanya?

Jawab wanita itu, tidak sedikit pun perasaannya terusik.

Ini kerana, baginya, kehadiran orang ramai seakan memberikan semangat kepadanya, lagi ramai orang,

lagi kuat semangatnya berdepan cabaran tidak terduga itu.

"Nenek rasa gembira sebab orang tumpang bersedih dengan nenek, orang bagi kekuatan kepada nenek.

"Rasanya itu satu sumbangan, sokongan moral. Bukan orang datang nak mengejek nenek, semua datang ucapkan takziah. Semua yang datang, tiada yang tak ucapkan takziah.

"Terharu atau tidak? Terharu nenek rasa," ujarnya lagi.

Berkongsi rancangan masa depan, Rohana berhajat untuk membina rumah baharu di tapak sama, andai tidak besar pun tidak mengapa, perlahan-lahan dia akan bangunkan semula.

Buat masa ini, cukuplah jika ada tempat untuk beribadah, makan, tidur dan menguruskan diri.

"Nenek mengarang dalam kepala sendiri. Tangga itu apa maknanya? Dia (ALLAH) suruh nenek naik satu mata, biar sampai ke atas balik.

"Tiang yang tumbang itu, nampak kan sebatang tiang di situ? Jadi dari situ nenek rasa Allah suruh bina balik dari satu tiang, walaupun hanya dari sebatang tiang.

"Bila kita kaji balik, bila kita berusaha, Insya-ALLAH akan diberi sebab kami dapat rumah itu pun bukan tiba-tiba macam itu," katanya.

Ketika ditanya apa yang membuatkannya begitu kuat, Rohana berkata, kekuatan yang diperoleh merupakan kurniaan daripada Allah, bukan datang daripadanya.

Kekuatan dan ketabahan nenek Rohana dalam menghadapi ujian dan dugaan ini tentu sekali memberikan inspirasi buat seluruh rakyat Malaysia. - Awani

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!