Thailand cerahkan peluang ke final
JUARA edisi 2016, Thailand mencerahkan peluang mara ke final Piala Suzuki AFF 2020 apabila menewaskan Vietnam 2-0 pada aksi separuh akhir di Stadium Nasional, Singapura pada Khamis.
Dua gol daripada kapten skuad Gajah Perang, Chanathip Songkrasin masing-masing pada minit ke-14 dan minit ke-23 ternyata sudah cukup memadai buat skuad Gajah Perak itu membawa bekal selesa menjelang aksi separuh akhir kedua, 26 Disember ini.
Thailand membuka jaringan menerusi kapten, Chanathip Songkrasin pada minit ke-14 berpunca daripada kesilapan pertahanan Vietnam yang gagal mengekang lorongan bola dan Chanathip yang tidak dikawal tenang menewaskan penjaga gol, Tran Nguyen Manh yang meluru keluar bagi menyelamatkan keadaan.
Jaringan berkenaan nyata menyemarakkan semangat kesebelasan Thailand untuk terus mengasak ke gawang Vietnam bagi menambah jaringan.
Hasilnya skuad Gajah Perang itu memperolehi gol kedua juga menerusi Channatip pada minit ke-23 menerusi gerakan satu dua yang yang berjaya memecah benteng pertahanan skuad Naga Emas itu dan seterusnya mudah menewaskan Nguyen Manh buat kali kedua.
Tersentak dengan dua gol berkenaan, kesebelasan Vietnam dilihat bingkas bangkit mengatur asakan ke gawang Thailand bagi menjaringkan gol.
Vietnam kemudiannya mendapat peluang terbaik bagi menjaringkan gol pertama pada minit ke-33, namun sepakan percuma Nguyen Quang Hai sekadar menggegarkan palang gol biarpun penjaga gol Thailand, Chatchai Budprom telah pun tertewas.
Babak kedua menyaksikan kedua-dua pasukan semakin menggandakan asakan dalam usaha menambah jaringan namun kedua-dua asakan berkenaan gagal menepati sasaran selain berjaya dikekang benteng pertahanan lawan.
Hasil satu serangan balas, Chanathip hampir meledak hatriknya pada perlawanan berkenaan, namun rembatannya derasnya pada minit ke-56 tinggi melewati palang gol.
Minit ke-66 menyaksikan Vietnam hampir merapatkan jurang gol, tetapi rembatan Quang Hai sekadar menggegarkan palang gol sebelum dikeluarkan pertahanan Thailand.
Minit ke-79 menyaksikan Vietnam sekali lagi hampir menjaringkan gol pertama namun kali ini rembatan leret pemain gantian, Phan Van Duc hanya sedikit tersasar ke sebelah kiri pintu gol Thailand.
Thailand berpeluang menambah gol ketiga apabila diberikan sepakan penalti, pada minit ke-83.
Bagaimanapun sepakan penalti berkenaan gagal disempurnakan Chanathip yang merembat tepat kepada penjaga gol Vietnam, Nguyen Manh sebelum dikeluarkan benteng pertahanan.
Kedua-dua pasukan kemudiannya dilihat terus mengasak ke pintu gol lawan masing-masing dalam usaha menjaringkan gol, namun tiada sebarang jaringan tembahan berjaya dihasilkan hingga ke wisel penamat.
Vietnam – Tran Nguyen Manh, Do Duy Manh, Nguyen Thanh Chung, Que Ngoc Hai (kapten), Nguyen Tuan Anh (Phan Van Duc), Vu Van Thanh, (Ho Tan Tai), Nguyen Phong Hong Duiy, Nguyen Hoang Duc, Nguyen Cong Phuong,(Ha Duc Chinh), Nguyen Quang Hai, Nguyen Van Toani (Nguyen Tien Linh)
Thailand – Chatchai Budprom, Manuel Bhir, Theerathon Bunmathan, Narubadin Weerawatnodom, Kritsada Kaman, Chanathip Songkrasin (kapten) (Weerathep Pomphan), Phitiwat Sukjitthammakul, Thanawat Suencchitthawon, (Thitiphan Puangchan), Sarach Yooyen, Teerasil Dangda, (Worachit Kanitsribampen), Supachok Sarachart (Supachai Chaided)
Pengadil – Saound Ali H J Al-Adiba (Qatar)
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!