55 Orang Asli Sungai Selangi positif Covid-19

No Image Caption
A
A
A

KOTA TINGGI - Seramai 55 penduduk Kampung Orang Asli Sungai Selangi, Sedili Besar, dekat sini dikesan positif Covid-19.

Pegawai Daerah Kota Tinggi, Datin Paduka Hazlina Jalil berkata, semua Orang Asli itu disahkan positif selepas menjalani ujian calitan Polymerase Chain Reaction (PCR) Covid-19.

"Tiga penduduk telah dimasukkan ke Hospital Kota Tinggi (HKT) manakala 52 penduduk telah dihantar ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Olive Permai.

"Bagi penduduk yang dikategorikan sebagai kontak rapat telah diberikan arahan perintah pengawasan di rumah (HSO)," katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.

Katanya, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kota Tinggi sebelum itu menerima notifikasi terdapat banyak kes bergejala di kampung berkenaan pada Selasa lalu dan susulan itu kampung berkenaan diletakkan di bawah zon merah Covid-19.

Hazlina berkata, keadaan di kampung itu terkawal di bawah penyelarasan pejabat daerah dengan kerjasama Kementerian Kesihatan (KKM), pihak polis dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).

Jelasnya, meskipun begitu pada masa ini kampung berkenaan tidak diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan punca penularan di kawasan itu masih dalam siasatan pejabat kesihatan daerah.

"Penduduk dinasihatkan untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dan segera melakukan ujian Covid-19 sekiranya bergejala," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sedili, Rasman Ithnain berkata, pihaknya segera menyampaikan sumbangan berbentuk barangan makanan untuk penduduk yang terlibat sejurus dimaklumkan tentang perkara itu.

Pengagihan bakul makanan dari rumah ke rumah katanya, dilakukan pihak KKM sebagai langkah pencegahan mengelakkan penularan.

"Kita mendoakan semoga masyarakat Orang Asli kaum Kanaq di kampung berkenaan yang dikuarantin akan segera sembuh dan dipermudahkan segala urusan.

"Semoga dengan sedikit sumbangan ini juga dapat membantu meringankan beban mereka terutamanya bagi mereka yang menerima arahan HSO," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!