MFL perlu ambil pendekatan menang-menang

B Sathianathan
B Sathianathan
A
A
A

LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) disarankan untuk mengambil pendekatan menang-menang berhubung jadual saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2022 yang dijangka berdepan kepadatan seperti musim 2021.

Malah menurut Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM), B Sathianathan, kepadatan jadual tidak hanya memberi impak kepada kelab-kelab Liga-M tetapi juga melibatkan skuad Harimau Malaya terutamanya bagi persediaan mengharungi kelayakan Piala Asia 2023 yang dijadualkan berlangsung pada Jun.

“Setakat ini tidak ada mana-mana jurulatih yang mengadu mengenai kepadatan jadual ini, tetapi bagi saya memang kepadatan jadual musim 2021 lalu telah menjejaskan banyak kelab dalam saingan Liga-M.

“In kerana kepadatan jadual berkenaan turut melibatkan masalah kecederaan dan pemulihan pemain dan sekali gus ia berkait rapat dengan kontrak yang telah ditandatangani oleh pemain.

“Jadi bagi kita semua seharusnya bersedia untuk menempuhi era baharu dalam bola sepak kerana semua pihak sememangnya tidak pernah menjangkakan perkara seperti pandemik Covid-19 akan berlaku hingga turut memberikan kesan besar kepada arena bola sepak tanah air apabila pasukan kebangsaan tidak dapat menjalani latihan dengan sempurna, tiada perlawanan persahabatan,” katanya kepada Sukan Sinar pada Khamis.

Untuk rekod, kepadatan jadual bagi saingan Liga-M 2021 dikatakan menjadi antara faktor yang menjejaskan persiapan Harimau Malaya bagi mengharungi saingan Piala Suzuki AFF 2020 hingga menyaksikan skuad negara gagal mara ke separuh akhir.

Pada masa sama, Sathianathan berkata, MFL selaku badan pentadbir liga bola sepak negara perlu juga merangka pelan tersendiri bagi memastikan jadual bagi saingan Liga-M 2022 musim depan dapat berjalan dengan lancar.

Katanya, MFL boleh merangka format tertentu bagi pertandingan yang diadakan dalam saingan Liga-M.

Artikel Berkaitan:

“Mungkin MFL berikan fokus kepada saingan Liga Super dan Liga Premier dan selepas itu fokus pula untuk Piala FA, Piala Malaysia dan Piala Cabaran. Mungkin juga boleh buat ikut format kalah mati bermula dari pusingan pertama lagi kepada semua pertandingan ini,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!