Amaran penularan penyakit selepas banjir

Longgokan sampah sarap dan perkakasan rumah yang rosak akibat banjir di satu kawasan lapang sebelum diuruskan pelupusannya oleh pihak berwajib. -Foto Bernama
Longgokan sampah sarap dan perkakasan rumah yang rosak akibat banjir di satu kawasan lapang sebelum diuruskan pelupusannya oleh pihak berwajib. -Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Di sebalik tumpuan dan kebimbangan terhadap penularan Covid-19 selepas bencana banjir, pakar kesihatan memberikan amaran tentang bahaya pendedahan dan penularan penyakit seperti leptospirosis (kencing tikus), denggi dan cirit-birit.

Pakar virologi, Profesor Dr Sazaly Abu Bakar berkata, tikus yang kelaparan dan kesejukan akan mula keluar dan berada dekat dengan manusia menyebabkan penyakit kencing tikus boleh menular dalam keadaan sempit dan ramai.

Selain itu katanya, mangsa banjir terdedah kepada penyakit yang berpunca daripada air seperti cirit-birit.

“Penyakit yang paling kita risaukan khususnya di kawasan seperti Shah Alam ialah wabak yang ditularkan oleh nyamuk iaitu denggi, chikungunya dan Japanese encephalitis (JE) yang kebiasaannya berlaku selepas dua minggu tamat banjir. Itu yang kita perlu beri perhatian.

“Pihak berkenaan perlu memberikan perhatian kepada kemungkinan yang akan berlaku. Sebelum ini kita terlepas pandang akan persediaan banjir kerana kesibukan kita berdepan dengan Covid-19, harapnya kita tidak terlepas pandang dengan penyakit bawaan tikus dan nyamuk, selain Covid-19.

“Saya risau apabila kita terlampau fokus kepada Covid-19, kita lupa bahawa kita ada penyakit yang betul- betul endemik seperti leptospirosis, denggi dan cirit-birit,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Sazaly Abu Bakar
Sazaly Abu Bakar

Beliau yang juga Pengarah Pusat Penyelidikan dan Pendidikan Penyakit Berjangkit Tropika (TIDREC) Universiti Malaya (UM) berkata, bagi menangani masalah ini, beberapa perkara perlu diberikan perhatian termasuklah semua pihak perlu memastikan pengurusan sampah dilakukan dengan cara betul dan baik.

Artikel Berkaitan:

Bagi mengelakkan penyakit cirit-birit pula, beliau berkata ia boleh ditangani dengan minum air yang telah dimasak sepenuhnya selain tidak membiarkan kanak-kanak bermain di dalam air yang kotor dan minum air yang tidak dimasak.

“Bagi penularan penyakit bawaan nyamuk, mungkin pihak kesihatan boleh melakukan fogging (semburan kabus) dengan lebih kerap dalam masa dua minggu selepas banjir dan memastikan tiada pembiakan nyamuk.

“Aspek paling penting yang perlu ditekankan ialah pematuhan prosedur operasi standard (SOP) bagi mengelakkan diri daripada dijangkiti Covid-19 kerana dalam apa jua keadaan, kita semua terdedah kepada risiko untuk dijangkiti,” ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!