Proses pemulangan 11 jenazah bot karam bermula semalam
JOHOR BAHRU - Proses pemulangan jenazah warga Indonesia yang identiti telah dikenal pasti dalam kejadian bot karam di Tanjung Balau, Kota Tinggi pada 15 Disember lepas, mula dilaksanakan semalam melalui jalan laut.
Konsulat Jeneral Republik Indonesia (KJRI) di sini dalam kenyataan pada Jumaat memaklumkan, proses pemulangan itu melibatkan 11 jenazah dengan menggunakan Kapal Patroli Polisi Perairan Indonesia KP Laksamana 7012.
“Proses serah terima dilaksanakan di Johor Port, di sini kepada Satgas Misi Kemanusiaan Internasional yang terdiri daripada Kementerian Luar Negeri, Kepolisian Republik Indonesia dan Badan Perlindungan Pekerja Migran Indonesia (BP2MI),” menurut kenyataan itu.
ARTIKEL BERKAITAN: [VIDEO] Bot pancung karam: 11 PATI lemas, 25 masih hilang
Bot karam: Bingkai gambar, sejadah terdampar di tepi pantai
KJRI turut menzahirkan penghargaan atas bantuan daripada semua pihak yang terlibat dalam proses pemulangan jenazah tersebut ke Indonesia.
“KJRI juga ingin menyampaikan ucapan belasungkawa atas pemergian warganegara Indonesia dalam musibah tersebut. Semoga keluarga yang ditinggalkan diberikan ketabahan dan keikhlasan,” menurut KJRI.
KJRI pada masa sama menasihati warganegara Indonesia yang akan bekerja di luar negara supaya mengikuti prosedur selamat dan tidak termakan pujukan pihak lain yang boleh membahayakan keselamatan diri sendiri.
Pada 15 Disember lepas, sebuah bot membawa kira-kira 50 pendatang tanpa izin warga Indonesia, karam di perairan Tanjung Balau, kira-kira 4.30 pagi yang mengorbankan 21 orang dan 13 terselamat, manakala 16 lagi dipercayai hilang.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!