Kes pindaan laporan akhir 1MDB dipindah ke Mahkamah Tinggi
![No Image Caption](https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2019/03/14/223778.jpg)
KUALA LUMPUR - Kes melibatkan Datuk Seri Najib Tun Razak bersama bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy berhubung pindaan Laporan Akhir Pengauditan 1MDB akan didengar di Mahkamah Tinggi.
Hakim Mohd. Nazlan Mohd Ghazali memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan pasukan pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Amir Nasrudin untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi.
Bagaimanapun, tarikh pengurusan kes belum ditetapkan.
Pada prosiding tersebut, Amir memaklumkan pihaknya mengemukakan permohonan memindahkan kes tersebut mengikut Seksyen 417 Kanun Tatacara Jenayah.
Tiada bantahan daripada Peguam Muhammad Farhan Muhammad Shafee yang mewakili Najib dan Datuk N Sivananthan bertindak bagi pihak Arul Kanda.
Dalam pada itu pada 5 April ini kes akan disebut di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Azura Alwi bagi memaklumkan perkembangan terbaharu ini.
Pada 12 Disember lalu, bekas Perdana Menteri itu mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menggunakan kedudukannya bagi mendapatkan perlindungan daripada dikenakan tindakan tatatertib berhubung pindaan Laporan Akhir Pengauditan 1MDB.
ARTIKEL BERKAITAN: Najib nafi arah pinda Laporan Akhir Pengauditan 1MDB
Mengikut pertuduhan, Najib, 66, didakwa telah menggunakan kedudukannya sebagai Perdana Menteri mengarahkan agar Laporan Akhir Pengauditan 1MDB yang sedang disediakan dipinda sebelum ia dimuktamadkan dan dibentang kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam Negara (PAC) bagi melindungi diri daripada dikenakan tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berhubung syarikat pelaburan itu.
Sementara itu, Arul pula didakwa bersubahat dengan Najib untuk meminda laporan tersebut bagi melindungi Ahli Parlimen Pekan itu daripada dikenakan tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.
ARTIKEL BERKAITAN: Arul Kanda tidak mengaku subahat
ARTIKEL BERKAITAN: Najib, Arul Kanda dibicarakan bersama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!