Banjir: Ada ibu baru bersalin tidak terima bantuan - Mangsa

Rafiee berharap ada pihak yang membuka mata mengenai perkara berkenaan selain mendesak tindakan segera diambil khususnya buat penduduk di Sri Tanjung. - Astro AWANI
Rafiee berharap ada pihak yang membuka mata mengenai perkara berkenaan selain mendesak tindakan segera diambil khususnya buat penduduk di Sri Tanjung. - Astro AWANI
A
A
A

DENGKIL - Mangsa banjir di Kampung Sri Tanjung, Dengkil ibarat 'sudah jatuh ditimpa tangga' apabila dikhabarkan tidak mendapat bantuan secukupnya dalam situasi sukar tersebut.

Menceritakan mengenai nasib penduduk, salah seorang mangsa, Rafiee Osman berkata, dia turut dimaklumkan terdapat seorang wanita yang baru melahirkan bayi juga tidak mendapat sebarang bantuan.

"Pada awalnya saya jumpa pasangan ini di kedai dan mereka tidak cukup duit untuk beli kelengkapan.

"Suami mangsa maklum pada saya, isterinya baru sahaja tiga hari melahirkan bayi, tetapi langsung tiada bantuan diterima.

"Saya cuba dapatkan bantuan, tetapi mangsa selepas itu gagal dikesan. Saya hanya sampaikan kepada penduduk terdekat yang turut memaklumkan, mereka juga tidak terima bantuan," katanya kepada Astro AWANI ketika ditemui awal pagi tadi.

Keadaan yang sememangnya sukar itu, kata Rafiee menggerakkan hatinya untuk bertindak sendiri tanpa menunggu bantuan dari pihak berwajib.

Dalam masa sama, beliau menzahirkan kekecewaan berhubung insiden terbabit yang disifatkan sebagai satu perkara yang tidak sepatutnya berlaku.

"Macam mana kes ini boleh terlepas pandang sedangkan kawasan ini dekat dengan pejabat kerajaan?

Artikel Berkaitan:

"Kejadian ini bukan kali pertama berlaku tetapi sejak dulu lagi, langsung tidak kelihatan kelibat pihak berwajib," katanya lagi.

Rafiee dalam masa sama mengharapkan ada pihak yang membuka mata mengenai perkara berkenaan selain mendesak tindakan segera diambil khususnya buat penduduk di Sri Tanjung.

Sementara itu, seorang lagi mangsa banjir, Ramlah Derus, yang seakan letih dengan peristiwa seumpama itu.

"Kalau ada yang bantu itu nasiblah. Memang daripada dulu, apabila banjir, belum pernah dapat bantuan lagi.

"Barang dalam rumah memang semua rosak, tiada satu pun yang dapat diselamatkan.

"Banjir ini bukan seorang yang kena, semua terjejas. Jadi, kita memang harapkan bantuan kerajaan.

"Anak terpaksa berjaga sebab pintu rumah pun rosak tak boleh kunci, kita risau kalau ada yang ambil kesempatan," katanya.

Terdahulu, Astro AWANI menerima aduan berhubung mangsa banjir di Sri Tanjung yang tidak mendapatkan sebarang bantuan sejak peringkat awal banjir.

Hasil tinjauan mendapati keadaan di Sri Tanjung agak kritikal disebabkan kesan banjir yang mengakibatkan lumpur menebal.

Hal itu menyebabkan operasi pembersihan sukar selain penduduk juga tidak selesa untuk menetap di kediaman mereka.

Astro AWANI sedang cuba mendapatkan penjelasan daripada pihak Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dengkil Adhif Shan Abdullah untuk penjelasan lanjut. - Awani

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!