Tiga individu jadi mangsa scammer
PORT DICKSON- Tiga individu mengalami kerugian berjumlah RM33,653.29 selepas terjerat dengan sindiket Macau Scam dalam tiga kejadian berasingan pada Khamis di daerah ini.
Ketua Polis daerah Port Dickson, Superintenden Aidi Sham Mohamed berkata, kes pertama melibatkan seorang lelaki berusia 51 tahun yang bekerja sebagai penyelia tapak projek telah terima panggilan daripada seorang individu yang menyamar sebagai pegawai bank.
"Mangsa dimaklumkan terdapat penggunaan kad kredit atas namanya telah digunakan untuk pembelian bitcoin sebelum panggilan disambungkan kepada pegawai Bank Negara dan untuk tujuan siasatan pihak polis.
"Dia diminta untuk menyerahkan butiran perbankan akaun bank miliknya, bagaimana pun dia kemudiannya mendapati wang sebanyak RM11,153.29 telah dipindahkan kepada individu yang tidak dikenali," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Aidi Sham berkata, kes kedua pula, seorang wanita berusia 26 tahun bekerja sebagai pegawai khidmat pelanggan menerima panggilan daripada seorang individu yang menyamar sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
"Mangsa didakwa mempunyai tunggakan cukai atas nama syarikat yang didaftarkan atas namanya sebelum panggilan itu disambungkan kepada Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Terengganu dan untuk tujuan siasatan mangsa diminta untuk menyerahkan butiran perbankan akaun bank.''
''Akibatnya mangsa mengalami kerugian sebanyak RM13,900 selepas wangnya dipindahkan kepada individu yang tidak dikenali," katanya.
Tambah beliau, kes ketiga juga menggunakan modus operandi sama iaitu mangsa seorang pesara swasta lelaki berusia 62 tahun menerima panggilan daripada individu yang menyamar sebagai pegawai bank.
"Dia memaklumkan terdapat penggunaan kad kredit atas nama mangsa telah digunakan untuk pembelian bitcoin.
"Panggilan disambungkan kepada pegawai Bank Negara dan untuk tujuan siasatan pihak polis, mangsa telah diminta ke mesin ATM terdekat untuk mengubah had limit pengeluaran dan membuat pemindahan wang kepada akaun yang tidak dikenali dan akhirnya mangsa mengalami kerugian sebanyak RM8,600 dalam kejadian ini," katanya.
Katanya, kesemua mangsa telah membuat laporan polis pada Khamis dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
"Orang ramai diingatkan supaya tidak mudah mempercayai panggilan-panggilan yang memaklumkan mereka adalah badan penguatkuasa atau institusi kewangan selain tidak mendedahkan butiran perbankan kepada pihak yang tidak dikenali bagi mengelak daripada menjadi mangsa penipuan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!