418 kes penyakit berjangkit libatkan mangsa banjir dikesan

Khidmat MEDEVAC hantar bayi berusia dua bulan yang kritikal dari Hospital Bentong ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini, pada Khamis. - Foto JKNP
Khidmat MEDEVAC hantar bayi berusia dua bulan yang kritikal dari Hospital Bentong ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini, pada Khamis. - Foto JKNP
A
A
A

KUANTAN- Sebanyak 418 kes penyakit berjangkit telah dikesan dalam kalangan mangsa banjir di Pahang sehingga Khamis.

Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Dr Nor Azimi Yunus berkata, kes itu dikesan hasil 27,620 saringan dan pemeriksaan yang dilakukan petugas kesihatan di semua PPS aktif di negeri ini.

Menurutnya, daripada kes penyakit berjangkit itu, 270 kes melibatkan jangkitan saluran pernafasan akut (ARI), penyakit kulit; 89 kes, radang usus akut atau gastroenteritis; 29 kes, konjunktivitis; empat kes dan penyakit-penyakit lain.

"Sehingga kini, seramai 10 pesakit dirujuk ke hospital menggunakan perkhidmatan MEDEVAC melibatkan empat penerbangan oleh Tentera Udara Diraja Malaysia ( TUDM)," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Nor Azimi berkata, bantuan MEDEVAS itu hasil usahasama Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) negeri dan daerah serta TUDM.

"Dalam situasi banjir ketika ini, mangsa-mangsa yang berada di PPS dinasihatkan supaya terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 bagi mengelak penularan wabak itu.

"Kita akui sangat sukar kerana bilangan mangsa yang sangat ramai di sesetengah PPS namun cubalah setakat termampu bagi mengelak wujud kluster Covid-19 di pusat pemindahan," katanya.

Pada masa sama, beliau turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mendapatkan bekalan air dan makanan dari sumber yang bersih.

Artikel Berkaitan:

"Air banjir yang kotor dikhuatiri tercemar dan boleh membawa risiko jangkitan penyakit seperti kencing tikus (leptospirosis), meliodosis, keracunan makanan, tifoid dan kolera.

"Selain itu, suasana PPS yang padat amat berisiko kepada jangkitan seperti cacar air, demam campak dan juga penyakit tangan kaki dan mulut (HFMD)," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!