Mayat warga emas terjatuh di Sungai Cheroh ditemukan
RAUB - Mayat lelaki warga emas yang hilang selepas dikhuatiri terjatuh di Sungai Cheroh, di sini sejak Rabu lalu ditemukan pada Jumaat.
Mayat Por Kong Ming, 79, ditemukan jam 11.10 pagi di lokasi kira-kira 4.2 kilometer dari tempat mangsa disyaki terjatuh.
Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Kama Azural Mohamed berkata, mangsa ditemukan dalam keadaan terapung di permukaan sungai dan tersangkut pada ranting pokok.
Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Raub untuk proses bedah siasat.
"Susulan penemuan mayat mangsa itu, operasi mencari dan menyelamat ditamatkan," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Dalam kejadian pada Rabu lalu, mangsa dipercayai tergelincir ke dalam sungai di belakang rumahnya ketika mahu mandi berdasarkan penemuan gayung dan kesan gelincir di tebing sungai.
Operasi mencari dan menyelamat digerakkan meliputi kawasan Sungai Cheroh sehingga Sungai Semantan, Cheroh bermula dari tempat kejadian mangsa dipercayai terjatuh.
ARTIKEL BERKAITAN: Warga emas dikhuariti lemas di Sungai Cheroh
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!