Lebih 20 dron diaktifkan ke kawasan terjejas banjir

Lebih 20 unit dron telah diaktifkan pada Jumaat bagi operasi bantuan pemulihan banjir di kawasan terjejas di Selangor. - Gambar hiasan
Lebih 20 unit dron telah diaktifkan pada Jumaat bagi operasi bantuan pemulihan banjir di kawasan terjejas di Selangor. - Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - Lebih 20 unit dron telah diaktifkan pada Jumaat bagi operasi bantuan pemulihan banjir di kawasan terjejas di Selangor termasuk bagi kerja-kerja pemantauan dan penghantaran bekalan kritikal seperti makanan, ubat-ubatan dan power bank, kata Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

MOSTI dalam kenyataan pada Jumaat memaklumkan, dron yang dikendalikan Pasukan Petugas Kecemasan Perkhidmatan Dron Khas (PTK2Dron) itu telah digerakkan ke kawasan seperti Taman Sri Muda, Kampung Lombong dan Lanchong, Kampung Lanchang Jaya, Taman Alam Indah dan Kampung Jalan Kebun.

"Usaha pemantauan dan penghantaran bekalan kritikal ini dilaksanakan di Selangor buat masa ini tertakluk kepada keperluan dari semasa ke semasa," menurut kenyataan itu.

Menurut MOSTI, PTK2Dron, yang diselaraskan oleh Technology Park Malaysia (TPM) juga bersedia untuk menghulurkan bantuan di negeri lain yang terjejas banjir mengikut kesesuaian, permintaan dan keperluan pihak berkuasa tempatan.

MOSTI berkata, pengendalian dron berkenaan telah diuji di Perak pada Oktober lepas dan didapati efektif dari segi penjimatan masa serta kos sebagai alternatif kepada kaedah logistik seperti menggunakan bot.

Dron-dron itu juga telah diuji untuk penghantaran ke lokasi yang mencabar dari segi geografi, termasuk ke ruang pendaratan yang sempit dan terhad.

MOSTI berkata, kesemua dron yang digerakkan untuk bencana banjir itu adalah merupakan tanggungjawab sosial (CSR) syarikat dron tempatan iaitu VStream Revolutions Sdn Bhd, Meraque Services Sdn Bhd, Alphaswift Industries Sdn Bhd, Aerodyne Group Sdn Bhd dan GeoPrecision Tech Sdn Bhd. Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!