‘Pertelagahan siapa jadi pengerusi MKN cukup menjengkelkan’
SHAH ALAM – Pertelagahan seorang menteri persekutuan dan menteri besar dari negeri yang sama mengenai siapa Pengerusi Majlis Keselamatan Negara (MKN) cukup menjengkelkan.
Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan yang berkongsi perkara itu di Facebook beliau pada Sabtu turut membangkitkan persoalan adakah rakyat peduli tentang siapa yang menjadi pengerusi MKN tersebut.
“Agak-agak rakyat peduli ke siapa pengerusi? Apa faedah berebut jawatan kalau masalah rakyat masih belum selesai?
“Cuba ambil contoh dari sebegitu banyak badan bukan kerajaan (NGO) dan orang awam yang berterusan membantu rakyat.
“Sepanjang saya membersihkan rumah-rumah minggu ini, saya sendiri nampak team Ustaz Ebit Liew, team Neelofar, Dana Kita, Unit Amal Pas, Skuad Prihatin Bersatu, sukarelawan parti Muda, persatuan penduduk dan banyak NGO yang bertungkus-lumus bekerja,” katanya.
Mengulas lanjut, Wan Saiful menambah, tidak ada seorang dalam kalangan mereka bertelagah untuk menjadi ketua.
“Kita semua saling bantu membantu untuk buat kerja. Yang penting, ada beribu-ribu rumah perlu dibersihkan segera. Itu tumpuan kita.
“Dalam waktu begini, saya nasihatkan orang politik yang bawa ‘perangai lama’ ni supaya sudah-sudah lah. Lagi kamu tunjuk perangai, lagi rakyat marah,” katanya.
Beliau turut memuat naik dua tangkap layar laporan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari pada Selasa lalu yang akan kembali semula mempengerusikan MKN Selangor mulai Rabu.
Satu lagi tangkap layar ialah mengenai laporan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar yang menegaskan bahawa beliau masih lagi pengerusi MKN.
Tegasnya, disebabkan mereka yang tamak berebut jawatan, semua ahli politik terpalit.
“Padahal yang perangai buruk kamu saja. Kami yang lain ni nak buat khidmat, tapi terpalit sebab perangai kamu.
“Jangan disebabkan ‘perangai lama’ kamu, nama semua orang rosak. Kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Bermuafakatlah. Rakyat mahu kita buat yang terbaik untuk mereka,” tulisnya di media sosial itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!