Latihan penyelarasan sebagai penambahbaikan atasi banjir: Hasni
JOHOR BAHRU - Kerajaan negeri Johor mengarahkan semua jabatan dan agensi berkaitan untuk melakukan latihan penyelarasan sebagai persiapan mendepani kemungkinan bencana banjir di luar jangkaan di negeri ini.
Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad berkata, usaha itu bertujuan memastikan gerak kerja menyelamat dan memberikan bantuan semasa bencana dapat diselaraskan dengan lancar dan segera.
"Perkara ini telah dibincangkan menerusi taklimat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri yang turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Azmi Rohani, ketua-ketua jabatan dan pegawai agensi berkaitan.
"Kita melihat usaha ini penting bagi memastikan terdapat penambahbaikan sistem pengurusan bencana banjir dengan mengambil kira keadaan di luar jangkaan.
"Justeru, perkara ini juga penting bagi meningkatkan persiapan menghadapi banjir serta pengukuhan sistem komunikasi sebaran awal kepada masyarakat sekitar," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.
Hasni turut memaklumkan, kerajaan negeri juga berpendapat kelewatan dalam usaha menyelamat dan memberi bantuan kepada semua mangsa banjir tidak boleh dikompromi kerana melibatkan isu keselamatan serta nyawa.
"Dalam mendepani situasi bencana, saya ingin menyeru agar semua agensi dan jabatan berkaitan dapat mengurangkan karenah biroraksi serta tidak mudah menuding jari atau menyalahkan orang lain.
"Adalah lebih baik kita bekerjasama dan memberikan sepenuh tenaga untuk menyelesaikan perkara ini," katanya.
Dalam pada itu, beliau juga berharap penglibatan badan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini untuk bersama-sama membantu sekiranya berlaku bencana itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!