Sukarelawan perlu maklum kerajaan negeri untuk koordinasi
KUALA LUMPUR - Badan bukan kerajaan, agensi dan sukarelawan yang menyertai misi bantuan mangsa banjir di Selangor perlu memaklumkan kehadiran mereka kepada kerajaan negeri, menurut Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Beliau berkata, pemaklumkan ini akan memudahkan kerajaan negeri menerusi Majlis Sukan Negeri bagi mengkoordinasikan pergerakan sukarelawan, dan seterusnya menumpukan kawasan yang lebih memerlukan bantuan.
“Saya jangkakan menjelang perayaan Krismas hujung minggu ini, jumlah kehadiran (sukarelawan) akan lebih ramai, saya perlu melihat bagaimana koordinasi dapat dibuat.
“Bukan ingin menghalang (bantuan dan sukarelawan) tetapi mengelakkan sebarang pembaziran tenaga dan kerja, kerana penumpuan yang kurang di satu tempat tapi terlebih tumpu di satu tempat yang lain,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Bernama Radio pada Jumaat.
Amirudin berkata, pihaknya mendapati kesesakan luar biasa berlaku di Hulu Langat pada Khamis berikutan pergerakan masuk sejumlah besar petugas dan sukarelawan dari luar.
Oleh itu, beliau mengarahkan Exco Generasi Muda, Sukan dan Modal Insan Selangor, Mohd Khairuddin Othman dan Pegawai Daerah Hulu Langat, untuk berjumpa dengan pihak terlibat bagi membantu koordinasi serta mengelakkan kesesakan dan ketidakselesaan di beberapa lokaliti.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan kerajaan negeri itu telah menubuhkan Pusat Koordinasi Sukarelawan Selangor bagi menyelaras semua bantuan dan tenaga kerja sukarelawan yang ingin membantu misi bantuan bencana banjir di kawasan terlibat. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!