300 kambing, 10 lembu lemas dalam banjir
SHAH ALAM - Seorang penternak kambing dan lembu terpaksa menanggung kerugian lebih RM80,000 apabila ternakannya mati dalam kejadian banjir besar di Kampung Lombong, Seksyen 29 di sini pada Sabtu.
Imam Sufaat Ishak, 43, berkata, kejadian banjir itu amat tidak disangka kerana ia tidak pernah berlaku sebelum ini.
Menurutnya, pada mulanya dia beranggapan air akan segera surut dalam masa yang cepat, namun sangkaannya meleset apabila air naik dengan cepat.
"Saya bersama pekerja mengambil keputusan untuk menyelamatkan kambing di kandang terlebih dulu kerana ia lebih berisiko berbanding lembu.
"Pada trip pertama, saya menggunakan tiga buah lori dan dua pacuan empat roda untuk memindahkan ternakan ke kandang di Jalan Kebun, Shah Alam kira-kira jam 3 petang," katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini semasa Misi #BantuanBencana Sinar Harian x Rasuah Busters di sini pada Jumaat.
Imam Sufaat berkata, selepas itu beliau cuba lagi memindahkan haiwan peliharaan yang lain, namun gagal apabila air naik semakin tinggi hingga tidak boleh dilalui kenderaan.
Katanya, musibah itu mengakibatkan 300 ekor kambing dan 10 ekor lembu mati selain kerosakan makanan haiwan, peralatan serta kenderaan.
"Saya anggarkan mengalami kerugian lebih RM80,000," katanya.
Justeru, beliau berharap pihak kerajaan dapat membantu semua penternak yang terjejas akibat banjir dari segi infrastruktur bagi memulakan ternakan baharu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!