Cuti KSU, ketua pengarah dibatalkan serta-merta: KSN
PUTRAJAYA - Cuti semua ketua setiausaha kementerian dan ketua pengarah jabatan dan agensi kerajaan dibatalkan serta-merta, kata Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.
Beliau berkata, ia selaras dengan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkenaan arahan pembatalan cuti bagi anggota kabinet dan mengarahkan semua menteri yang sedang bercuti di luar negara, supaya pulang segera.
"Saya turut mengarahkan semua ketua setiausaha kementerian dan ketua pengarah jabatan/agensi bagi perkara yang sama berkuat kuasa serta-merta," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Mohd Zuki berkata, ini bagi membolehkan semua agensi kerajaan menggembleng tenaga dalam memastikan kesiapsiagaan seluruh jentera kerajaan untuk mengharungi keadaan semasa negara demi rakyat.
Ismail Sabri pada sidang akhbar selepas melawat mangsa banjir di Bentong, Pahang pada Jumaat berkata, menteri kabinet yang sedang bercuti dan merancang untuk bercuti diarah membatalkan cuti masing-masing, sehingga masalah bencana banjir yang melanda negara ketika ini selesai. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!