MBI Selangor peruntuk 1.5 juta sedia keperluan asas, makanan
SHAH ALAM - Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI Selangor) memperuntukkan sejumlah RM1.5 juta untuk menyediakan bantuan sokongan seperti keperluan asas dan makanan di 69 pusat pemindahan sementara (PPS) yang disasarkan.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Norita Mohd Sidek berkata, sebanyak RM1.1 juta sudah dibelanjakan setakat ini untuk membantu mangsa banjir di seluruh negeri.
Menurutnya, kerajaan negeri sentiasa mengambil berat situasi yang berlaku di negeri ini khususnya membabitkan bencana
"Serahan sumbangan makanan dan barangan keperluan asas ini dilakukan secara berperingkat bermula dari bencana banjir melanda negeri ini," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Beliau memberitahu, selain itu, pihaknya turut memulakan satu tindakan pantas dengan menubuhkan pasukan sukarelawan dalam kalangan warga kerja MBI untuk membantu mereka yang terjejas.
Katanya, sukarelawan diketuai beliau turut disertai seramai 30 ahli bersama peralatan yang lengkap.
Tambah beliau setakat ini, pasukan itu membantu ke beberapa lokasi di sekitar Klang dan Shah Alam bagi menjalankan aktiviti mengemas, mencuci rumah serta menyediakan makanan kepada mangsa.
"Selain itu juga, MBI Selangor dengan kerjasama beberapa lagi agensi mengambil bahagian dalam satu lagi inisiatif iaitu Program Dapur Ehsan di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
"Program ini menyediakan makanan untuk diedarkan kepada mangsa banjir.
Justeru katanya, MBI Selangor menggesa semua warga negeri itu sentiasa peka dengan pengumuman oleh jabatan yang bertanggungjawab tentang keadaan semasa.
"Bagaimanapun, bersama-samalah kita memperingati untuk sentiasa berwaspada dengan penularan virus Covid-19, mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang sebaran virus ini dan juga wabak lain akibat dari bencana banjir ini.
"Semoga kita semua dilindungi dan diberikan kekuatan untuk bangkit kembali," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!