Bekas Presiden wanita pertama Korea Selatan diberi pengampunan
SEOUL - Bekas Presiden wanita pertama Korea Selatan, Park Geun-hye yang menjalani hukuman penjara lebih 20 tahun atas tuduhan rasuah diberi pengampunan pada Jumaat.
“Kita perlu bergerak maju ke era baharu.
"Perpaduan nasional adalah perkara yang perlu dititikberatkan ketika ini,” kata penggantinya, Moon Jae-in sambil menambah keadaan kesihatan Geun-hye yang semakin merosot setelah meringkuk selama hampir lima tahun di penjara juga antara salah satu faktor untuk memberi pengampunan kepada beliau.
Pemimpin wanita itu turut dirawat di hospital beberapa kali sepanjang tahun ini dan kini menjalani rawatan di sebuah kemudahan di Seoul.
Sementara itu, Kementerian Kehakiman memaklumkan pengampunan itu akan berkuatkuasa pada Jumaat depan.
Geun-hye, 69, yang dilantik memegang tampuk pemerintahan negara itu pada 2013 disingkirkan dalam tempoh kurang empat tahun selepas didakwa terlibat skandal rasuah yang turut mencetuskan protes mega.
Beliau kemudiannya dijatuhi hukuman penjara 20 tahun atas pertuduhan rasuah dan salah guna kuasa serta hukuman tambahan dua tahun lagi kerana berdepan dakwaan melanggar undang-undang pilihan raya. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!