'Kami bergelap sepanjang enam hari'

Jalan yang menghubungkan Bandar Seri Ehsan ke kawasan luar mulai surut pada pagi Jumaat dan beberapa kenderaan dilihat mula menggunakan jalan tersebut.
Jalan yang menghubungkan Bandar Seri Ehsan ke kawasan luar mulai surut pada pagi Jumaat dan beberapa kenderaan dilihat mula menggunakan jalan tersebut.
A
A
A

KUALA LANGAT - Penduduk di Bandar Seri Ehsan, Banting di sini lega selepas bekalan elektrik, komunikasi dan jalan yang terputus sejak enam hari lalu ekoran banjir pada Sabtu kembali pulih seperti sedia kala.

Tinjauan Sinar Harian di kawasan perumahan Bandar Seri Ehsan, Banting di sini pada Jumaat mendapati jalan sepanjang tiga kilometer yang sebelum ini ditenggelami air sedalam satu meter mulai surut dan boleh dilalui kenderaan.

Penduduk, Roslina Abdullah, 38, berkata, ketika bekalan elektrik di kawasan perumahannya terputus pada malam Sabtu lalu, dia dan suami sedang berniaga di rumah mereka.

Menurutnya, insiden tersebut pertama kali berlaku sejak dia tinggal di kawasan berkenaan11 tahun lalu.

"Tiba-tiba bekalan elektrik terputus pada jam 2 pagi, kami tak sempat sediakan apa-apa. Selepas itu, enam hari kami bergelap.

"Saya memang tidak boleh berniaga kerana banyak barang mentah rosak," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Siti Zubaidah Majid, 43, pula berkata, sepanjang enam hari itu, dia menggunakan mesin jana kuasa untuk mengecas telefon bimbit yang dikongsi dengan tujuh jirannya.

Artikel Berkaitan:

Penduduk di Bandar Seri Ehsan, Banting di sini lega selepas enam hari terputus dengan dunia luar.
Penduduk di Bandar Seri Ehsan, Banting di sini lega selepas enam hari terputus dengan dunia luar.

"Mujur ada sepupu yang bantu kami dengan memberikan mesin jana kuasa. Alhamdulillah, saya sangat lega apabila semua masalah ini berakhir," katanya.

Dalam pada itu, Norhalim Ramlan, 39, berkata, beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mula memasuki kawasan perumahan itu pada Isnin selepas mengetahui keadaan penduduk di sini.

Menurutnya, pihak persatuan penduduk juga bertindak menggunakan sebuah lori 'hantu' untuk membawa penduduk keluar dari kawasan tersebut.

"Alhamdulillah, pelbagai pihak datang membantu kami di sini sejak Isnin lalu dengan menghulurkan barangan keperluan," katanya yang bekerja sebagai juruteknik.

Zulhairi Zaidi, 30, berkata, pada Ahad lalu, dia yang dalam perjalanan ke tempat terpaksa berpatah balik selepas jalan di kawasan perumahannya terputus akibat dinaiki air setinggi satu meter.

Menurutnya, sepanjang kejadian itu, dia dan isteri hanya makan apa yang ada di rumah sehingga bantuan tiba pada Selasa.

"Sepanjang 11 tahun saya tinggal di sini, ini kali pertama kejadian sebegini berlaku," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!