Tak adil jika pecat Cheng Hoe
TONGGAK Kuala Lumpur (KL) City FC, Muhammad Akram Mahinan tampil mempertahankan Tan Cheng Hoe di sebalik desakan sesetengah pihak yang mahu pengendali Harimau Malaya itu dipecat.
Akram berkata, tidak adil sekiranya Cheng Hoe dipecat gara-gara persembahan kurang baik diperagakan skuad Harimau Malaya pada saingan Piala Suzuki AFF 2020 di Singapura.
Menurut Akram, kegagalan Harimau Malaya mencipta impak positif sehingga tersingkir awal dalam saingan kali ini tidak harus dipertanggungjawabkan di atas bahu Cheng Hoe semata-mata.
“Pertama sekali penyokong tidak boleh lihat secara luaran sahaja, apabila pasukan negara tidak pamerkan aksi terbaik... yang dipersalahkan adalah pemain dan jurulatih.
“Sebab saya lihat coach Tan seolah-olah tidak diberi kuasa penuh untuk melakukan apa yang beliau mahu, baik dari segi latihan atau pemain-pemain yang ingin dibawa pada kejohanan kali ini.
“Kalau kita lihat AFF 2018 ketika kami mara ke final, pasukan ada persiapan yang rapi. Semua pemain sudah dipanggil pada bulan Mac, tetapi persiapan kali ini cukup berbeza dengan masa yang terhad,” katanya kepada Sukan Sinar pada Jumaat.
Pada masa sama, Akram percaya, Cheng Hoe masih merupakan individu yang terbaik untuk mengemudi Harimau Malaya bagi menghadapi Pusingan Ketiga Kelayakan Piala Asia 2023 tahun depan.
Justeru, Akram yang terpaksa digugurkan daripada skuad Harimau Malaya pada saat akhir ekoran kecederaan berharap Cheng Hoe diberikan kepercayaan meneruskan tugasnya.
“Saya harap coach Tan akan diberi peluang sekali lagi untuk menentukan kemampuannya membawa pasukan negara. Biar beliau diberikan masa secukupnya membuat persiapan.
“Mungkin kita akan dapat melihat kembali permainan pasukan negara dengan corak permainan yang laju sama seperti lawan Emiriah Arab Bersatua (UAE) pada Kelayakan Piala Dunia dua tahun lalu.
“Kita bukan tiada potensi, kita ada potensi bawah bimbingan coach Tan. Apa yang perlu dilakukan, bagi persediaan secukupnya untuk coach Tan membentuk semula pasukan,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!