Petani akur tanaman ditenggelami banjir
SHAH ALAM - Seorang petani akur selepas tanaman cili yang sepatutnya dituai minggu ini tenggelam dalam banjir di Kampung Lombong, Seksyen 29, di sini pada Sabtu.
Mohd Rosalan Ramli, 49, berkata, tanaman cili besar secara fertigasi itu ditenggelami banjir selama empat hari ketika air mencecah kira-kira 0.6 meter selain kerosakan peralatan seperti mesin pam air, baja dan racun.
Menurut Rosalan, dia mengusahakan tanaman cili sejak dua tahun lalu dan terbaru ia boleh disemai sejak lebih tiga bulan lalu.
"Memang sedih dan tidak tergambar dengan kata-kata. Saya anggap ini bukan rezeki," katanya ketika ditemui Sinar Harian di ladangnya semasa Misi #BantuanBencana Sinar Harian x Rasuah Busters pada Jumaat.
Sementara itu, nasib yang sama turut menimpa Muhamad Zahir Muhamad Zuki, 36, dan rakannya Syamsyul Anuar Che Mat, 38.
Kata Muhammad Zahir, dia dan Syamsyul Anuar terpaksa berputih mata apabila tanaman terung fertigasinya di tanah seluas 0.1 hektar musnah dilanda banjir.
"Tanaman terung kami sudah memasuki fasa kedua iaitu pemindahan anak pokok ke beg plastik. Banjir yang melanda kawasan ini mengakibatkan tanaman, semua peralatan rosak dan kerugian mencecah RM30,000. Kami reda apa yang berlaku.
"Ini bencana alam dan mungkin hari ini tiada rezeki kami. InsyaALLAH ada rezeki kami di hari lain. Kami akan berusaha untuk bangkit semula," ujarnya.
Justeru, dia berharap pihak kerajaan dan jabatan pertanian dapat membantu golongan petani untuk meringankan beban mereka.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!