PRN di Johor?

Hasni (kanan) meninjau barangan keperluan yang akan dihantar menerusi Misi Bantuan Banjir Pemuda UMNO Johor dan Rakyat Johor di Pejabat Perhubungan UMNO Negeri Johor pada Sabtu.
Hasni (kanan) meninjau barangan keperluan yang akan dihantar menerusi Misi Bantuan Banjir Pemuda UMNO Johor dan Rakyat Johor di Pejabat Perhubungan UMNO Negeri Johor pada Sabtu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kerajaan negeri Johor akan menilai dan memantau reaksi terkini Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk melihat kedudukan kerajaan dan keberangkalian perlunya Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan.

Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad berkata, perkara itu berikutan kedudukan kerajaan negeri kini yang kurang stabil dengan hanya kelebihan satu kerusi DUN.

Bagaimanapun, menurutnya, isu mengenai kelebihan satu kerusi sahaja tidak memadai untuk PRN diadakan memandangkan situasi politik di negeri ini berbeza berbanding di Sarawak atau Melaka.

“Dengan keadaan negeri satu majoriti ini saya perlu melihat dan meninjau keadaan semasa. Sama ada kita hendak buat Pilihan Raya Kecil (PRK), Speaker DUN (Suhaizan Kayat) sudah menjelaskan bahawa tidak perlu diadakan kerana kita sudah melepasi tempoh tiga tahun.

“Jadi mengenai PRN, jika ada kemungkinan saya perlu melihat kepada keperluan tersebut berdasarkan reaksi dan keadaan terkini Johor.

“Kemungkinan mengadakan PRN ini saya kira tidak boleh disandarkan seperti mana berlaku di Melaka atau Sarawak. Ini kerana selama tempoh hampir dua tahun ini kita telah menguruskan perjalanan DUN dengan baik malah berjaya menggubal beberapa dasar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pelepasan Sumbangan Bantuan Banjir Pemuda UMNO Johor dan Rakyat Johor di Pejabat Perhubungan UMNO Negeri Johor di sini pada Sabtu.

Media sebelum ini melaporkan bekas Menteri Besar, Datuk Osman Sapian, 70, meninggal dunia di kediaman anaknya di Kuala Lumpur kerana kira-kira jam 11.45 malam pada 22 Disember 2021.

Artikel Berkaitan:

Kehilangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas itu sekali gus menjadikan gabungan kerajaan sedia ada kini hanya mempunyai kelebihan satu kerusi iaitu 28 berbanding 27 kerusi milik Pakatan Harapan (PH).

ARTIKEL BERKAITAN: Bekas Menteri Besar Johor, Osman Sapian meninggal dunia

Hasni yang juga Pengerusi UMNO Johor berkata, pihaknya juga akan melihat reaksi terkini ADUN Johor menerusi Persidangan Khas DUN yang akan diadakan pada 6 Januari depan.

“Kita akan melihat daripada semua sudut untuk saya memahami reaksi dalam kalangan ADUN daripada gabungan parti yang ada untuk menubuhkan kerajaan hari ini.

“Semua akan dilihat termasuk pada 6 Januari depan ketika diadakan Persidangan Khas DUN untuk kita meminda Undang-Undang Tubuh Negeri Johor bagi pelaksanaan Undi 18 untuk mereka yang berusia 18 tahun,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!