Atlet kebangsaan perlu diberi satu lagi peluang
ATLET kebangsaan perlu diberi satu lagi peluang untuk membuktikan prestasi diri mereka pada tahun depan sebagai usaha untuk kekal dalam program latihan kendalian Majlis Sukan Negara (MSN).
Setiausaha Agung Persatuan Renang Malaysia (MS), Mae Chen berkata penetapan baharu MSN itu disifatkan sebagai tidak adil sama sekali kerana atlet kehilangan pencapaian dua tahun lalu berikutan pandemik Covid-19.
"Sudah tentu ia tidak adil, atlet ini terkurung dalam MSN. Mereka berlatih bersungguh-sungguh siang dan malam serta mengalami tekanan mental tetapi kini mereka diberitahu mereka tidak diperlukan dan tidak mendapat lanjutan kontrak mereka," katanya.
Walaupun beberapa atlet mempunyai peluang bertanding pada Olimpik Tokyo Julai lalu, Mae melihat kebanyakan mereka tidak dapat bersaing dengan rasa pertandingan sebenar kerana kekurangan aksi kompetitif menjelang acara temasya sukan terbesar di Jepun itu.
"Tetapi, bagaimana dengan atlet muda dan cemerlang yang tidak ke Olimpik? Adalah tidak adil untuk menilai mereka tanpa sebarang pertandingan yang sewajarnya," katanya.
Baru-baru ini, MSN menetapkan pencapaian di peringkat kejuaraan tertinggi sejak 2019 sebagai petunjuk prestasi utama (KPI) untuk membolehkan atlet kekal dalam program latihan kendalian MSN bermula 2022.
Penetapan syarat lebih ketat itu adalah langkah diperkenalkan semula MSN selepas berdepan realiti tiada peruntukan khusus untuk meneruskan Program Podium yang berakhir sebaik tamat temasya Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik Tokyo 2020.
Ia menyaksikan hanya 288 atlet yang benar-benar layak dikekalkan bagi mengikuti program latihan sepenuh masa menjelang tiga temasya utama tahun depan iaitu Sukan SEA Hanoi di Vietnam; Sukan Komanwel di Birmingham, United Kingdom dan Sukan Asia serta Sukan Para Asia di Hangzhou, China.
Sementara itu, Setiausaha Agung Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC), Maradona Chok berpendapat perlu ada kaedah untuk menilai atlet berikutan pemotongan peruntukan yang dihadapi MSN.
Maradona juga prihatin dengan nasib atlet akan datang, justeru mereka perlu diberikan platform yang betul untuk membuktikan diri mereka kerana ramai tidak berpeluang berbuat demikian sebelum ini.
Ditanya mengenai pandangannya berkenaan Program Podium, Maradona berkata MSN perlu mempertimbangkan untuk mengubah suai program itu supaya ia lebih realistik.
Ini, katanya boleh dilakukan dengan memberi lebih perhatian kepada sukan yang mempunyai potensi untuk membawa kejayaan, sekiranya program itu kekal dalam rangka badan induk sukan itu tidak lama lagi.
Memetik boling sebagai contoh, beliau berkata sukan itu menyediakan program kejayaan yang kukuh disokong oleh MSN selama ini, dan ia semenangnya kisah kejayaan yang Malaysia boleh lahirkan juara dunia secara berterusan dengan sokongan yang tepat kepada keseluruhan sistem pembangunan.
"Sebanyak mana kita mahukan pingat emas Olimpik yang sukar dirangkul itu, kita tidak seharusnya mengabaikan sukan yang sudah kita menang di peringkat dunia dan mengekalkan tahap penguasaan atau tahap untuk bersaing," katanya.
Bagi Presiden Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) Gerard Monteiro, beliau memahami kesukaran dihadapi MSN kerana negara berada dalam kesusahan terutamanya untuk memerangi pandemik Covid-19.
"Kita tiada pilihan dan terima apa yang diberikan MSN...walaupun kita tidak ada banyak acara pada dua tahun lepas, tetapi kem skuasy telah berjaya khususnya dalam memenangi gelaran wanita dan lelaki pada Kejohanan Berpasukan Asia baru-baru ini," katanya.
Gerard juga mencadangkan agar persatuan sukan kebangsaan mengalih perhatian mereka untuk mendapatkan lebih banyak dana daripada sektor swasta dan berharap kerajaan mempertimbangkan untuk memberi lebih banyak insentif atas sumbangan mereka kepada sukan tempatan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!