Gantung VTL hanya sementara, sempadan tidak ditutup

Hasni (tengah) memeriksa barangan yang akan dihantar menerusi Misi Bantuan Banjir Pemuda UMNO Johor dan Rakyat Johor ke Selangor di Pejabat Perhubungan UMNO Johor di sini pada Sabtu.
Hasni (tengah) memeriksa barangan yang akan dihantar menerusi Misi Bantuan Banjir Pemuda UMNO Johor dan Rakyat Johor ke Selangor di Pejabat Perhubungan UMNO Johor di sini pada Sabtu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - [DIKEMASKINI] Penggantungan penjualan tiket bas dan penerbangan bagi Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) antara Malaysia dan Singapura hanyalah bersifat sementara atas faktor keselamatan kedua-dua negara.

Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad berkata, perkara itu juga dilakukan sebagai langkah berjaga-jaga berikutan peningkatan jumlah kes varian Omicron di negara republik berkenaan.

"Apa yang penting ketika ini adalah sempadan tidak ditutup, cuma kedua-dua kerajaan lebih berhati-hati memandangkan peningkatan kes varian baharu Omicron di Singapura.

"Kita bersetuju pembukaan VTL darat yang menggunakan kenderaan awam tetapi dalam masa sama kita juga tidak mahu masyarakat di kedua-dua negara ini bimbang dengan pembukaan sempadan kerana jumlah kemasukan pengembara yang besar boleh menjadi salah satu punca kepada penularan varian Omicron.

"Sekiranya keadaan seperti biasa atau nampak penurunan, saya yakin dan percaya bahawa kita akan lihat semula dari segi jumlah yang dibenarkan untuk melakukan perjalanan VTL ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa Majlis Pelepasan Sumbangan Bantuan Banjir Pemuda UMNO Johor dan Rakyat Johor di Pejabat Perhubungan UMNO Negeri Johor di sini pada Sabtu.

Sebelum ini, media melaporkan penjualan tiket bas dan penerbangan bagi VTL Malaysia dan Singapura digantung sementara mulai Khamis hingga 20 Januari 2022.

Keputusan itu dibuat dengan mengambil kira laporan Kementerian Kesihatan Singapura pada 20 Disember lalu berhubung kejadian satu kluster tempatan Covid-19 yang melibatkan tiga kes positif termasuk kemungkinan varian Omicron.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Hasni berkata, kerajaan kini akan tetap memberikan tumpuan kepada semua aspek termasuk pelaksanaan VTL yang dilihat mempunyai potensi besar dalam menggerakkan lebih banyak sektor ekonomi di negeri ini.

"Ini adalah komitmen kedua dua negara dan ia memberi keyakinan kepada Johor untuk gerak semua sektor termasuk pelancongan bagi memastikan ia dapat berjalan seperti biasa,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!