Peniaga rugi beratus ribu akibat banjir

Sebahagian barangan bayi dari kedai Yee Huang rosak dan terpaksa dibuang.
Sebahagian barangan bayi dari kedai Yee Huang rosak dan terpaksa dibuang.
A
A
A

TEMERLOH - Kejadian banjir besar yang melanda bandar Mentakab dekat sini telah mengakibatkan ramai peniaga terpaksa menanggung kerugian mencecah ratusan ribu ringgit apabila barang perniagaan dan peralatan kedai rosak teruk sehingga ada yang terpaksa dibuang.

Lebih malang, ada segelintir daripada mereka mengakui terpaksa menyerah kalah dan mengambil keputusan untuk menutup perniagaan susulan terpaksa menanggung kerugian.

Seorang peniaga kedai barangan komputer, Chiew Kian Giap, 30-an mengakui dia terpaksa mengaku kalah dan berkemungkinan akan menutup kedainya setelah mengalami kerugian besar akibat bencana itu.

Menurutnya, selepas tiga cawangan kedainya ditutup ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kedai yang masih tinggal juga akan menerima nasib sama.

Heng Chuan menunjukkan timbunan dokumen dan fail-fail penting perniagaanya yang musnah dalam kejadian banjir yang melanda bandar Mentakab.
Heng Chuan menunjukkan timbunan dokumen dan fail-fail penting perniagaanya yang musnah dalam kejadian banjir yang melanda bandar Mentakab.

"Ini lah satu-satunya kedai yang saya ada untuk terus bertahan namun akibat banjir yang berlaku semua barang komputer mengalami kerosakan dan terpaksa dibuang.

"Saya tak jangka banjir seteruk ini sedangkan dalam kejadian bencana itu pada Januari lalu, kawasan ini hanya dinaiki air melepasi paras longkang," katanya ketika ditemui pada Sabtu.

Kian Giap berkata, kerja-kerja membersihkan kedai dimulakan sejak Jumaat selepas banjir surut.

Artikel Berkaitan:

"Saya sedih dan tak sanggup lihat semua barang yang ada di dalam kedai ini terpaksa dibuang.

"Paling sedih bila memikirkan nasib pekerja yang mungkin hilang sumber pendapatan untuk menyara keluarga apabila mereka terpaksa diberhentikan selepas perniagaan ini ditutup," ujarnya.

Turut mengalami nasib sama, pemilik kedai barangan bayi, Tee Yee Huang, 35, yang terpaksa menanggung kerugian lebih RM200,000 apabila hampir separuh barang perniagaannya rosak dan terpaksa dibuang.

Dia berkata, kedainya yang terletak di Jalan Bunga Tanjung itu ditenggelami banjir sedalam 1.5 meter.

Operasi pembersihan sisa banjir di sekitar bandar Mentakab sedang giat dijalankan selepas banjir surut.
Operasi pembersihan sisa banjir di sekitar bandar Mentakab sedang giat dijalankan selepas banjir surut.

"Ketika kejadian saya berada di kedai namun air yang naik begitu cepat menyebabkan sebahagian barang dalam kedai tidak dapat diselamatkan.

"Saya sangka air hanya akan naik paras lutut, jadi ada barang saya sempat letakkan ditempatkan lebih tinggi namun semuanya juga turut terendam air," katanya.

Dalam pada itu, peniaga peralatan pendingin hawa, Tam Heng Chuan, 65, berkata, dia buntu dan tidak pasti bila perniagaannya dapat beroperasi semula ekoran banyak peralatan serta alat ganti rosak akibat bencana itu.

Katanya, kerja-kerja membersihkan kedai akan mengambil masa sekurang-kurangnya tiga hingga ke empat hari.

"Selain berdepan kerugian lebih RM100,000, dokumen penting termasuk fail-fail akaun perniagaannya turut rosak.

"Mujur kebanyakan unit pendingin hawa saya sempat diletakkan di tempat lebih tinggi dan hanya itu yang selamat," ujarnya.

Sementara itu, Alan Goh Kian Hwa, 31, berkata, kedai perniagaan pintu keselamatan yang mula beroperasi Julai tahun lalu turut terjejas apabila stok pintu keselamatan yang baru diterima daripada pembekal untuk jualan akhir tahun turut rosak.

"Akibat banjir ini, ada yang mengalami kerosakan dan berkemungkinan saya terpaksa dipulangkan kembali kepada pembekal.

"Itu pun belum tentu lagi ia boleh dipulangkan kerana bahagian-bahagian kayu yang ditenggelami air pasti akan menjejaskan kualiti pintu tersebut," jelasnya.

Keadaan di belakang presmis perniagaan di kawasan bandar Mentakab selepas banjir surut.
Keadaan di belakang presmis perniagaan di kawasan bandar Mentakab selepas banjir surut.

Dia yang berasal dari Selangor mengambil keputusan membuka perniagaan itu di bandar Mentakab kerana yakin kawasan itu bukan kawasan banjir.

"Bagaimanapun jangkaan itu meleset dan keadaan banjir yang berlaku seteruk ini," katanya yang mengalami kerugian kira-kira RM50,000.

Tinjauan Sinar Harian di sekitar bandar Mentakab pada Sabtu mendapati banjir telah surut sepenuhnya dan beberapa kawasan dilitupi lumpur tebal selain longgokan sisa banjir yang dikumpulkan peniaga di hadapan premis masing-masing.

Rata-rata peniaga yang terjejas sibuk membersihkan premis masing-masing manakala operasi kutipan sisa banjir di kawasan bandar itu sedang giat dijalankan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!