Bayar cukai tanah melalui MyDebit sehingga Ogos
ALOR SETAR - Kerajaan Kedah mengambil inisiatif memperkenalkan kaedah pembayaran secara elektronik bagi meningkatkan pendapatan menerusi kutipan hasil tanah.
Menteri Besarnya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, kaedah itu adalah untuk memudahkan pengguna membuat pembayaran di mana-mana kaunter pembayaran jabatan kerajaan negeri berbanding kaedah tunai.
"Inisiatif kerjasama Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) itu adalah kempen pembayaran hasil melalui kad MyDebit bermula pada 15 Mac hingga 15 Ogos 2019.
“Kemudahan ini akan bantu rakyat selesaikan cukai dengan lebih cepat dan mudah, malah kerajaan negeri yakin kaedah atas talian ini akan meningkatkan hasil kutipan, berbanding kaedah tunai,” katanya,
Beliau berkata demikian selepas melancarkan kempen pembayaran hasil kad MyDebit di Pejabat Tanah dan Galian Kedah di sini, hari ini.
Menurutnya, selain mahu memupuk kesedaran kalangan pembayar cukai, kaedah itu turut menggalakkan penggunaan MyDebit kalangan rakyat sebagai antara kaedah pembayaran alternatif di jabatan kerajaan negeri.
“Pembayar hanya perlu membuat pembayaran minimum RM30 dalam satu resit di kaunter jabatan kerajaan negeri, termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT) yang menggunakan kad MyDebit,” katanya.
"Malah pembayar cukai turut berpeluang memenangi hadiah utama, sebuah motosikal Yamaha Y15ZR, lima buah motosikal Yamaha Lagenda, 15 baucar barangan elektrik bernilai RM 2,500, telefon pintar, baucar barangan elektrik dan ketuhar gelombang mikro," katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB), Mohd Muazzam Mohamed berkata, komited menyediakan infrastruktur e-pembayaran selari dengan seruan Bank Negara Malaysia untuk bergerak ke arah masyarakat tanpa tunai.
“Melalui sistem e-pembayaran, Bank Islam berhasrat untuk meningkatkan kecekapan dan keselamatan bagi pengurusan transaksi pembayaran,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!